Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Lebih 700 orang belia yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, serta penuntut Institusi Pengajian Tinggi, pelajar Sekolah-Sekolah Menengah Kerajaan serta ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia dan sukan menghadiri Program Belia Berselawat Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21 Tahun 2026 dan Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Atur cara diisikan dengan bacaan Niat Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh wakil dari Belia Masjid As-Shaliheen, Awang Mohammad Rahiman bin Haji Abdul Rahman, dan diikuti dengan Dikir Maulud diketuai oleh Awang Muhammad Hazmi bin Haji Abd. Mutalib dari Ashabul Halim iaitu Belia Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku / Katok.
Majlis diteruskan dengan Forum Santai yang bertajuk 'Selawat Penyejuk Jiwa Belia' yang dibentangkan oleh tiga ahli panel iaitu penceramah dari Pusat Da’wah Islamiah, Awang Isham bin Awang Ismail; Duta Bahasa 2018, Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit; dan Kaunselor Bertauliah, Dayang Nurul Hazirah binti Haji Jahari.
Forum tersebut dimoderatorkan oleh Yang Dipertua Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan.
Majlis diselajurkan dengan Selawat Tafrijiyyah (An Naariyah), Selawat Badriyah, Selawat An-Nuur, Selawat Asy-Syifa dan Selawat Al-Fatih yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Lambak Berakas, mewakili Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara, Awang Mohammad Farhan @ Mohammad Ali bin Alim; manakala, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh wakil Belia As-Shaliheen, Awang Muhd. Danish Hilman bin Aziz Shamri.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh dari Kumpulan Dhafwatul ‘Aisy iaitu Beliawanis Masjid Utama Mohammad Salleh, Bangar dan Kumpulan Firqah An-Naim dari Masjid An-Naim, Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau.
Program Belia Berselawat Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21 Tahun 2026M dan Sambutan Maulidur Rasul 1448H merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, KKBS dengan kerjasama Belia Masjid Senegara, KHEU.
Program tersebut dihasratkan untuk memperkukuh jati diri dan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan belia melalui penghayatan amalan berselawat, di samping menjadi wadah untuk menghimpunkan masyarakat Islam, khususnya golongan belia, bagi bersama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.