Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Pusat Da’wah Islamiah
PULAIE, Ahad, 27 September. - Belia Mualaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), telah mengadakan Majlis Konvokesyen Program Ikon Mualaf 2.0: Jalan Lima bagi Tahun 1447-1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie, di sini.
Majlis konvokesyen berkenaan menandakan penutupan rasmi Program Ikon Mualaf 2.0: Jalan Lima, yang telah dilaksanakan selama lima bulan dengan memberi penekanan kepada pengembangan ilmu, pembinaan keyakinan diri, pengukuhan kemahiran serta pemerkasaan potensi belia mualaf.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Muhammad Fazeerul Dhawi bin Abdullah Tikom, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ali 'Imran, ayat 102 hingga 104, oleh Awang Muhammad Aldey Yusriman bin Abdullah Adnan. Inti sari ayat-ayat tersebut kemudiannya disampaikan oleh Dayang Nurhafizzah binti Rosli, peserta Program Ikon Mualaf 2.0.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Belia Mualaf As-Syahadah, Dayang Nurul Huda binti Muhammad Ashraf. Dalam ucapan tersebut, beliau mengucapkan setinggi - tinggi tahniah dan syabas kepada para peserta atas kesungguhan, semangat dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang mengikuti Program Ikon Mualaf 2.0: Jalan Lima.
Dayang Nurul Huda turut berharap agar segala usaha dan penglibatan para peserta sepanjang program berkenaan menjadi sesuatu yang besar nilainya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala serta dapat terus memberi manfaat kepada komuniti mualaf dan masyarakat secara keseluruhannya.
Majlis kemudiannya disusuli dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani yang antaranya berkata bahawa majlis konvokesyen berkenaan bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah program, malah merupakan satu pencapaian serta ruang untuk meraikan perjalanan para peserta dalam menimba ilmu, membina keyakinan diri, mengembangkan potensi dan mengeratkan ukhuwah sesama mereka.
"Segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini hendaklah dijadikan bekalan untuk terus melangkah ke hadapan. Jangan takut untuk mengambil peluang, mencuba perkara baharu dan terus memperbaiki diri," ujar beliau.
Pengiran Ahmad Faris Ramadhani seterusnya menzahirkan harapan agar program berkenaan dapat melahirkan lebih ramai belia mualaf yang berkeyakinan, berilmu, berakhlak mulia dan bersedia untuk tampil ke hadapan sebagai individu yang mampu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
Acara diteruskan dengan penutupan rasmi Program Ikon Mualaf 2.0: Jalan Lima oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan tayangan video yang memaparkan perjalanan dan aktiviti program sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Seterusnya, keputusan Penilaian Ikon Mualaf 2.0 diumumkan oleh Ketua Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI, Awang Isham bin Ismail.
Tetamu kehormat majlis kemudiannya menyampaikan sijil dan hadiah kepada para peserta Program Ikon Mualaf 2.0: Jalan Lima. Penyampaian turut disusuli dengan sijil dan cenderahati penghargaan kepada para penaja, penceramah, asatizah Urus Setia Program Keugamaan Belia serta Ahli Jawatankuasa Berdedikasi sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-'Asr yang dipimpin oleh Awang Muhammad Aldey Yusriman.
Dengan berlangsungnya majlis tersebut, maka secara rasminya berakhirlah Program Ikon Mualaf 2.0: Jalan Lima bagi Tahun 1447-1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, yang dihasratkan untuk terus menjadi salah satu wadah dalam memperkasa belia mualaf melalui pengukuhan ilmu, kemahiran, keyakinan diri, kepimpinan dan ukhuwah.