Kongsi sama ketengahkan perancangan dalam melaksanakan tanggungjawab

21 Okt 2026 - 5:15am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

TUTONG, Selasa, 20 Oktober. - Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong telah menganjurkan Majlis Kongsi Sama Bersama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku mantan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan mantan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berlangsung di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, pagi tadi.

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri. Turut hadir selaku tetamu khas, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua dan pemangku ketua kampung Daerah Tutong; pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan orang ramai.

Menerusi Majlis Kongsi Sama itu yang disampaikan oleh Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan itu telah mengetengahkan tajuk ‘Memperkasa dan Memartabatkan Peranan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung’ antaranya menyentuh mengenai kepentingan perancangan yang teratur dan strategik dalam melaksanakan tanggungjawab serta memastikan setiap tindakan yang diambil mempunyai hala tuju yang jelas.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa setiap penghulu mukim dan ketua kampung juga perlu sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat di bawah kepimpinan masing-masing.

Perkara ini memerlukan kebijaksanaan dalam menilai keperluan masyarakat serta mengimbangi pelbagai kepentingan bagi memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.

Majlis kongsi sama berkenaan turut menekankan kepentingan mengenal pasti dan membina kerjasama dengan rakan strategik bagi membantu melaksanakan perancangan yang telah ditetapkan.

Setiap usaha yang dilaksanakan hendaklah berasaskan perancangan yang sistematik, dengan mengambil kira penggunaan pelbagai kaedah dan pendekatan yang bersesuaian.

Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam Majlis Kongsi Sama tersebut juga mengutarakan mengenai aspirasi terhadap institusi mukim dan kampung adalah untuk melahirkan pemimpin yang beretika, berilmu, berkemahiran dan bijaksana serta mampu menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat. Pemimpin yang beretika dan berintegriti akan lebih mudah mendapat kepercayaan serta keyakinan daripada masyarakat yang dipimpinnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa para penghulu mukim dan ketua kampung hendaklah sentiasa mendukung dan menyokong aspirasi serta dasar-dasar kerajaan dalam usaha mencapai matlamat pembangunan negara.

Institusi mukim dan kampung juga memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pihak kerajaan dengan masyarakat, di samping membantu merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan melalui kepimpinan yang berkesan, kerjasama yang erat serta penglibatan aktif masyarakat setempat.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof dan diakhiri dengan lafaz Tasbih Kifarah dan Bacaan Surah Al-Asr oleh Awang Hazwan Nizam bin Ibrahim, salah seorang Ahli Mukim Pekan Tutong.

Dalam pada itu, sesi soal jawab juga dimuatkan semasa majlis berlangsung. Majlis turut menyaksikan sesi penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan tetamu undangan khas yang disempurnakan oleh Penghulu Mukim Pekan Tutong, Awang Haji Salim bin Haji Othman.