Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - Berikutan penularan berita dan perkongsian di media sosial mengenai dakwaan perlakuan tidak wajar yang berlaku di institusi pendidikan di negara ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam ingin memaklumkan bahawa pihak kementerian memandang serius setiap dakwaan yang menyentuh keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga institusi pendidikan.
KHEU ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk salah laku, gangguan, eksploitasi, penyalahgunaan kuasa mahupun perlakuan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan warga institusi pendidikan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak akan dikompromi.
Sehubungan dengan dakwaan yang sedang tular, pihak kementerian sedang meneliti maklumat-maklumat yang berkaitan dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak-pihak berwajib bagi memastikan sebarang perkara yang mempunyai asas untuk disiasat dapat ditangani mengikut undang-undang, prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.
Pada masa yang sama, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau mengenal pasti mana-mana individu yang berpotensi menjejaskan siasatan, privasi dan kesejahteraan pihak-pihak yang terlibat.
KHEU sentiasa komited dalam memastikan institusi-institusi pendidikan di bawahnya kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan berintegriti. Pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa, termasuk pengukuhan mekanisme aduan, pematuhan tatakelakuan, serta usaha memperkasakan kesedaran mengenai keselamatan dan perlindungan warga institusi pendidikan.
Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan hal ehwal kebajikan warga institusi pendidikan di bawah kawalan Jabatan Pengajian Islam, KHEU, ibu bapa dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk berhubung terus dengan pihak sekolah atau menghubungi Talian Syifa' di +673 8330063 pada waktu pejabat, atau melalui e-mel ke perhubungan.awam@jpi.edu.bn.