Keselamatan produk diberi perhatian, perlindungan pengguna diperkasa

29 Sep 2026 - 7:13am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 September. - Keselamatan produk memberi keyakinan kepada pengguna dalam membuat pilihan setiap hari. Perkara berkenaan merupakan mesej utama Forum Hari Pengguna Kebangsaan yang julung kalinya dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), di bawah tema ‘Produk Selamat, Pengguna Berkeyakinan’.

Forum berkenaan menghimpunkan lebih daripada 150 peserta yang terdiri daripada wakil agensi pengawal selia, pihak perniagaan dan pengguna bagi meningkatkan pemahaman mengenai sistem keselamatan produk, saluran yang boleh dirujuk bila berhadapan dengan isu pengguna, serta langkah-langkah untuk memperkukuh keyakinan terhadap pasaran di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Dalam ucapan perasmian tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Perdagangan), Dr. Dayang Hajah May Fae'zah binti Haji Ahmad Ariffin, menyatakan bahawa perlindungan pengguna membantu mewujudkan pasaran yang wajar dan dipercayai, dengan pengguna mempunyai keyakinan dan pihak perniagaan yang bertanggungjawab dapat terus berkembang.

Jelasnya lagi, pasaran domestik yang berfungsi dengan baik turut menggalakkan pelaburan, memupuk inovasi dan pertumbuhan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Dr. Dayang Hajah May Fa’ezah turut menekankan peranan penting pengguna dalam menyumbang kepada pasaran yang selamat dengan membuat pilihan yang bijak dan bermaklumat serta melaporkan sebarang isu pengguna, apabila diperlukan.

Di samping itu katanya lagi, pihak peniaga yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan turut memainkan peranan yang sama penting dalam memastikan keselamatan produk serta menyumbang kepada pasaran yang selamat dan dipercayai.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah JHEP, Dayang Heidi Farah Sia binti Abd. Rahman menyatakan bahawa forum berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan produk, menerangkan peranan agensi yang terlibat dalam perlindungan pengguna serta mengenal pasti bidang-bidang yang boleh ditambah baik.

Terangnya, dengan semakin banyak produk yang tersedia dan peningkatan transaksi niaga secara dalam talian yang berkembang, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan, namun turut berdepan dengan risiko berkaitan keselamatan produk dan maklumat yang mengelirukan.

Beliau juga berharap agar forum berkenaan dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih bermaklumat serta mengetahui saluran yang boleh dirujuk apabila berdepan dengan isu pengguna.

Tema ‘Produk Selamat, Pengguna Berkeyakinan’ adalah bertepatan dengan tema Hari Hak Pengguna 2026 yang disambut setiap tahun di pertingkat global.

Selaras dengan tema berkenaan, forum menampilkan beberapa siri perkongsian daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lau How Teck; JHEP, Jabatan Perkhidmatan Farmasi di Kementerian Kesihatan; Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA); Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam; Tribunal Tuntutan Kecil (Small Claims Tribunal-SCT) dan Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC).

Perkongsian menyentuh mengenai perundangan berkaitan perlindungan pengguna dan keselamatan produk dan maklumat-maklumat kepenggunaan seperti saluran aduan dan mekanisme penyelesaian.

Forum berkenaan menekankan bahawa walaupun keselamatan produk merupakan tanggungjawab bersama, pihak peniaga khususnya pengimport dan pengeluar, memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan produk yang dijual, manakala pihak pengawal selia menyediakan pemantauan dan penguatkuasaan, serta pengguna dapat membuat pilihan yang bermaklumat apabila maklumat yang jelas tersedia.

Dengan peningkatan pembelian dalam talian dan pembelian merentas sempadan, peserta forum turut menekankan keperluan bagi pengguna untuk memahami risiko yang berkaitan serta mengetahui saluran yang boleh dirujuk sekiranya berlaku sebarang isu pengguna.

Antara keutamaan yang dikenal pasti termasuk penyediaan maklumat yang lebih jelas, saluran yang mudah diakses untuk melaporkan isu pengguna dan mendapatkan penyelesaian pertikaian, penyelarasan yang kukuh antara pihak pengawal selia, serta kerjasama berterusan dengan pihak peniaga, pengguna dan rakan ahli-ahli Negara ASEAN dalam menangani isu-isu rentas sempadan.

Sesi soal jawab mengetengahkan keperluan untuk mewujudkan satu platform yang menyediakan maklumat yang jelas mengenai keselamatan produk serta saluran yang boleh dirujuk oleh pengguna untuk mendapatkan penyelesaian pertikaian.

Usaha berkenaan memerlukan koordinasi dan perkongsian maklumat yang lebih kukuh antara pihak pengawal selia sektor.

Perbincangan turut menyentuh peranan SCT dan BDAC sebagai saluran untuk menyelesaikan pertikaian pengguna dengan lebih berkesan dan menjimatkan kos.

Hari Pengguna Kebangsaan menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh rejim perlindungan pengguna di NBD sebagai usaha pembarigaan dengan menghimpunkan agensi-agensi pengawal selia sektor di dalam satu platform untuk membincangkan keselamatan produk, iaitu komponen penting dalam perlindungan pengguna.