Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) terus memperkukuh pemerkasa generasi muda melalui aktiviti kepelautan dengan menganjurkan Kursus Pengenalan Pemimpin Pengakap Laut Brunei Kali Pertama yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong.
Lebih 40 pemimpin pengakap daripada pelbagai daerah di seluruh negara telah menghadiri kursus berprestij tersebut, yang julung-julung kalinya diadakan khusus bagi melatih dan menyediakan barisan pemimpin baharu dalam mengendalikan unit Pengakap Laut di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Program yang dianjurkan berkenaan adalah dengan kerjasama rapat antara Bahagian Pengakap Laut dan Bahagian Latihan PPNBD. Sesi pembentangan utama telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Laut, Awang Muhammad Hamdanajib bin Haji Domeng, dengan kerjasama daripada Pasukan Latihan PPNBD.
Penganjuran kursus tersebut disifatkan amat signifikan berasaskan warisan maritim dan tradisi kepelautan kaya yang dimiliki oleh NBD. la bertujuan menanamkan jiwa ketahanan, disiplin, kecintaan terhadap alam perairan, serta membina kemahiran kepimpinan berasaskan semangat setia kawan dan tradisi kepengakapan.
Sepanjang kursus berkenaan, para peserta didedahkan secara intensif dengan tujuh modul utama yang merangkumi Sejarah dan Tradisi : Penerapan sejarah perkembangan Pengakap Laut di peringkat sedunia dan NBD; Pakaian Seragam dan Istiadat : Pemahaman aspek etika pakaian seragam, lencana, serta pelaksanaan istiadat rasmi kepelautan seperti Colors (naik bendera) dan Sunset (turun bendera); dan Kemahiran Asas Kepelautan : Penguasaan kemahiran asas ikatan, simpulan, dan ilmu pelayaran yang menjadi nadi kehidupan di laut.
Penganjuran kursus berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi pergerakan Pengakap Laut di NBD serta melahirkan barisan ahli dan pemimpin yang berdisiplin, berdaya saing, dan berpengetahuan luas dalam bidang maritim.