Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre
JERUDONG, Ahad, 27 September. - The Brunei Cancer Centre (TBCC), Jerudong Park Medical Centre (JPMC), baru-baru ini telah memenangi Anugerah Perak Hari Kanser Sedunia 2026 bagi kempen 'United by Unique', sebagai pengiktirafan terhadap usaha pusat berkenaan dalam menggalakkan penjagaan kanser yang berfokuskan kepada individu melalui penglibatan kreatif bersama komuniti.
Anugerah Hari Kanser Sedunia berkenaan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan amalan inovatif yang dilaksanakan oleh organisasi dan negara dalam komuniti kawalan kanser global, khususnya melalui kempen meningkatkan kesedaran mengenai kanser serta pendekatan yang mengutamakan keperluan individu.
Anugerah berkenaan turut mengetengahkan kempen yang menterjemahkan tema Hari Kanser Sedunia kepada tindakan bermakna yang memberi kesan kepada pesakit kanser, keluarga dan seluruh komuniti yang terlibat dalam penjagaan kanser.
Ia juga meraikan inisiatif yang kukuh dan memberi impak melalui kreativiti, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan serta sumbangan ke arah membentuk pendekatan penjagaan kanser yang lebih inklusif dan berpusatkan individu.
Anugerah berkenaan diumumkan pada World Cancer Congress 2026 yang berlangsung di Hong Kong dari 24 hingga 26 September 2026, anjuran Union for International Cancer Control (UICC).
Ditubuhkan pada 1933, UICC merupakan sebuah pertubuhan yang berpusat di Geneva dan menghimpunkan lebih 1,100 organisasi anggota daripada lebih 170 negara dan wilayah bagi memajukan usaha kawalan kanser di peringkat global.
Kempen Hari Kanser Sedunia JPMC yang memenangi Anugerah Perak berkenaan bermula pada Disember 2025 dan memuncak pada Sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari 2026, dengan tema 'Bringing Together the Cancer Care Community Through Arts'.
Kempen berkenaan menghimpunkan pesakit kanser, individu yang telah sembuh daripada kanser, profesional penjagaan kesihatan, penjaga, keluarga serta masyarakat umum bagi mengetengahkan kepentingan menghargai pengalaman unik setiap individu dalam menghadapi kanser.
Sepanjang kempen berkenaan, seramai 42 pejuang dan bekas pesakit kanser menyertai sesi terapi seni yang dikendalikan oleh seorang artis tempatan bersama seorang ahli terapi pemulihan JPMC. Sesi berkenaan meneroka perkara yang paling bermakna dan penting bagi setiap peserta.
Kempen berkenaan turut menampilkan pertandingan seni bagi kanak-kanak dan belia yang menerima sebanyak 84 penyertaan, selain perkongsian perjalanan hidup oleh para bekas pesakit kanser serta persembahan muzik khas oleh kakitangan TBCC sendiri dengan iringan persembahan orkestra daripada Expression Music Academy.
Maklum balas para peserta menunjukkan bahawa sesi terapi seni berkenaan menyediakan ruang bagi meluahkan emosi, kreativiti dan membina hubungan, sekali gus membantu mereka berasa lebih disokong dan tidak terasing.
Pakar Perubatan dan Ketua Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (Early Detection & Cancer Prevention Services - EDCPS), JPMC, Datin Dr. Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee, mengetuai Kempen Hari Kanser Sedunia 2026 berkenaan.
Delegasi JPMC yang menghadiri World Cancer Congress 2026 di Hong Kong terdiri daripada Datin Dr. Hajah Noraslinah; Pakar Perubatan Onkologi, Dr. Haji Zulkhairi bin Haji Mohamad; dan Clinical Charge Nurse, EDCPS, Dayang Sarinah binti Haji Junaidi.
Pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam menyediakan penjagaan kanser yang berpusatkan individu menerusi TBCC, JPMC yang menyediakan perkhidmatan kanser dan insiatif komuniti dalam menyokong kesejahteraan emosi, hubungan yang bermakna serta penjagaan komuniti melangkaui rawatan.