Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 2 Oktober. - Demensia bukan hanya sekadar masalah kesihatan, ia merupakan satu perjalanan kehidupan yang penuh cabaran dan pengorbanan.
Ia melibatkan bukan sahaja individu yang mengalaminya, tetapi juga ibu bapa, adik-beradik, ahli keluarga, sahabat handai, jiran dan rakan sekerja.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dalam perutusan sempena Sambutan Hari Alzheimer Sedunia 2026 pada 21 September 2026 yang lalu, menyatakan bahawa walaupun kebanyakan jenis demensia masih belum mempunyai rawatan ubat yang khusus, rawatan dan sokongan yang bersesuaian seperti membuat aktiviti fizikal, rangsangan kognitif, pemakanan yang sihat dan seimbang, hubungan sosial, pengurusan penyakit kronik, pemulihan, kerjasama dari ahli keluarga dan masyarakat serta pengubahsuaian persekitaran boleh membantu individu mengekalkan fungsi, kebebasan dan kualiti hidup selama yang mungkin.
Justeru itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menyeru untuk melakukan beberapa langkah penting seperti meningkatkan pengetahuan mengenai tanda-tanda awal demensia; mendapatkan pemeriksaan lebih awal daripada profesional kesihatan; menghentikan stigma, tunjukkan rasa hormat dan empati terhadap individu yang mengalami demensia; serta memberikan sokongan kepada ahli keluarga dan penjaga pesakit demensia.
Sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam, kita berpegang teguh pada ikatan kekeluargaan serta nilai murni dalam menjaga datuk dan nenek, ibu bapa dan ahli keluarga kita.
Nilai-nilai ini mengingatkan kita bahawa menjaga mereka yang terkesan terutamanya mereka yang mengalami demensia, bukan sekadar satu tanggungjawab tetapi juga amanah dan penghormatan yang melambangkan kasih sayang, kesetiaan dan kemuliaan sesebuah keluarga.
Namun begitu, terlalu kerap demensia diselubungi oleh ketakutan, keraguan dan kesunyian.
Terdapat ramai keluarga pesakit demensia memilih untuk berdiam diri kerana rasa takut, keraguan atau ketidakpastian.
Dalam pada masa yang sama, masyarakat di sekeliling mereka kadangkala kurang tampil menghulurkan sokongan.
Justeru, ikatan kekeluargaan perlu diperkukuh dalam sama-sama menangani Alzheimer. Peranan setiap ahli keluarga perlu disusun dengan bijak, sama ada menyumbang tenaga, masa mahupun kewangan.
Keluarga bukan sahaja berperanan sebagai penjaga, tetapi juga sebagai sumber kekuatan yang mengukuhkan institusi kekeluargaan demi kesejahteraan bersama.