Kekuatan NBD bergantung kepada agama, raja

8 Nov 2026 - 5:50am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Sabtu, 7 November. - Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned berkata, untuk selama enam atau tujuh abad, Negara Brunei Darussalam (NBD) sangat bangga dengan Melayu Islam Beraja (MIB).

NBD yang comel ini, jelas Yang Berhormat Mufti Kerajaan, hidup berugama dan berpemerintahan beraja. Inilah NBD. Ugama dan raja, sama sekali tidak dapat dipisahkan, kerana survival dan kekuatan NBD bergantung kepada ugama dan raja.

"Perkara ini sudah pun termaktub dalam sejarah, mari! Mari kita sama-sama menghayatinya, khasnya generasi pelapis, janganlah ada yang terlepas pandang untuk memahami perkara ini.

"Setelah enam atau tujuh abad Brunei berdamping rapat dengan MIB tanpa sebarang gangguan, tiba-tiba tanpa disangka-sangka muncul sebuah kuasa untuk cuba-cuba mengubur MIB," ujar Yang Berhormat semasa menyampaikan Ceramah Khas bertajuk 'MIB Tonggak Kedaulatan Negara' semasa Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Dalam ceramahnya, Yang Berhormat seterusnya mengongsikan pada tahun 1573, satu utusan dari sebuah kuasa datang ke Brunei untuk meninjau dan mempelajari keadaan Brunei sambil membuat pemetaan mengenai Brunei. Pada tahun 1574, tambah Yang Berhormat, utusan yang sama datang pula ke Brunei diketuai oleh Dr. Fransisco de Sande.

"Siapakah Dr. Fransisco de Sande? Semua orang tahu siapa dia. Dia adalah utusan negaranya, sebuah kuasa besar pada ketika itu, untuk mencari tanah atau negeri yang boleh dijadikan tanah atau negeri jajahan. Maka Brunei pun menjadi salah sebuah negeri idaman. Lalu kedatangan Dr. Fransisco kali ini ialah untuk membawa sepucuk surat, meminta Sultan Saiful Rijal bersahabat dan sekali gus bernaung di bawah kerajaan pendatang ini," jelas Yang Berhormat.

Ujar Yang Berhormat lagi, semua kehendak atau hajat yang serong ini ditolak oleh sultan malah mendatangkan kemurkaan kepada baginda. Maka gagallah pendatang untuk memaksa Brunei membenarkan permintaan mereka, namun pendatang terus berazam dan mencari jalan untuk menakluk Brunei.

Yang Berhormat seterusnya berkata, setelah beberapa tahun berselang sesudah pendatang gagal untuk mengajak Brunei berbaik-baik dan bernaung di bawah pemerintahan pendatang, maka pada tahun 1578, Dr. Fransisco de Sande telah datang pula ke Brunei dengan membawa 40 buah kapal perang dan beribu-ribu askar.

Setelah sampai di Brunei, tambah Yang Berhormat, Dr. Fransisco menghantar surat kepada sultan. Isi surat antara lain meminta sultan supaya menerima paderi-paderi dan memberi jaminan keselamatan terhadap paderi-paderi dalam masa paderi-paderi itu menyebarkan ugama kufur di Brunei.

Ujar Yang Berhormat, permintaan pendatang asing ini ditolak mentah oleh sultan, menjadikan Dr. Fransisco de Sande bertindak naik ke darat menggeledah Istana Sultan Abdul Kahar (Raja Tua) dan berikutnya menggeledah juga Istana Sultan Saiful Rijal. Mujur kedua-dua raja ini sempat berangkat meninggalkan istana ke Meragang kemudian ke Jerudong, sebagai ikhtiar atau usaha untuk mengelakkan diri daripada ditangkap atau dibunuh oleh pendatang asing itu.

Walaupun musuh bertindak ganas memberi tekanan, tambah Yang Berhormat lagi, namun Sultan Saiful Rijal tetap tidak menyerah kalah. Sekali-kali baginda tidak mengaku kalah. Kerana baginda tahu, jika baginda menyerah kalah atau mengaku kalah, maka bererti MIB akan berkubur dan institusi raja juga akan roboh dan lebur.

"Kerana itu sultan tetap bertahan, bertawakal kepada Allah tidak akan menyerah kalah, dan sama sekali tidak reda untuk membiarkan bumi Darussalam ini ditukar akidahnya kepada akidah kufur. Allahu Akbar! Allah Maha Besar! Lagi Maha Perkasa," jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat dalam ceramahnya menyatakan inilah pendirian Sultan Saiful Rijal yang cuma didukung oleh Pengiran Bendahara Sakam bersama-sama dengan 1,000 orang pemuda yang dilatih sebagai perajurit.

Ini sahaja yang ada pada Brunei, tekan Yang Berhormat, berbanding dipihak musuh mereka mempunyai kapal-kapal perang raksasa, alat-alat senjata moden yang canggih dan ramai askar yang cukup terlatih.

Sebenarnya pada tahap ini, kongsi Yang Berhormat lagi, Brunei sudah boleh dianggap kalah dan pendatang menang. Betapa tidak, bukankah pendatang dengan sesuka hati telah bermaharajalela sampai bertindak menggeledah istana, sementara raja pula telah pun meninggalkan istana. Tegas Yang Berhormat, tetapi amat menakjubkan, pendatang tiba-tiba sahaja angkat kaki meninggalkan Brunei, mengapa?

"Inilah misteri sejarah yang tidak mampu untuk dihuraikan oleh akal fikiran, melainkan semua itu 100 peratus adalah kehendak Allah jua, berupa pertolonganNya kepada Brunei, kepada raja yang soleh lagi beriman, Sultan Saiful Rijal, yang berniat suci mempertahankan Brunei daripada dijajah dan melindungi MIB dan institusi beraja daripada cuba-cuba untuk dikubur oleh musuh.

"Ini bukan dongengan, tetapi peristiwa yang benar. Mari! Mari kita mengambil iktibar daripada sejarah perang badar, dalam zaman permulaan Islam, di mana orang Islam pada ketika itu sangat lemah. Hanya mempunyai seramai 300 orang tentera, berbanding musuh seramai 1,000 lebih orang yang lengkap dengan baju besi dan tentera berkuda.

"Tetapi Allah memuliakan Islam dan orang Islam dengan kemenangan dan menghinakan musuh dengan kekalahan. Bagaimanakah Allah memuliakan Islam itu? Iaitu dengan memberikan pertolonganNya seperti yang disebut oleh Al-Quran, Surah Aali 'Imran ayat-ayat 123 hingga 127," terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat mengajak orang ramai untuk menghayati ayat-ayat ini. Ayat 123, tafsirNya, "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu (mencapai kemenangan) dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (dengan jumlah yang sedikit dan kurang peralatan perang). Oleh itu bertawakallah kamu kepada Allah supaya kamu bersyukur (dengan kemenangan ini)".

Ayat 124 pula kongsi Yang Berhormat, tafsirNya, "(Ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau berkata kepada orang-orang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari kalangan malaikat yang diturunkan?" Kemudian ayat 125, menambah, tafsirNya, "Bahkan (mencukupi malah) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan andainya (musuh) dengan serta merta menyerang kamu, nescaya Allah akan membantu kamu dengan 5,000 malaikat yang masing-masing bertanda".

Yang Berhormat seterusnya berkata, adakah pertolongan Allah ini hanya khusus untuk tentera Badar sahaja? Jawabnya tidak! Sekali-kali tidak! Malah ia juga boleh berlaku di semua peringkat zaman, termasuk zaman Brunei dalam pemerintahan Sultan Saiful Rijal.

Pertolongan Allah, jelas Yang Berhormat, sama sekali tidak hanya terhad kepada tentera Badar sahaja pada seribu tahun lebih yang lampau, tidak! Tetapi ia juga boleh berlaku selepas itu kepada mana-mana jua orang Islam atau kerajaan Islam yang dapat memenuhi pensyaratan bertaqwa dan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Rum, ayat 47,"Dan adalah kewajipan Kami (Allah) untuk menolong orang-orang yang beriman". Tambah Yang Berhormat lagi, firmanNya lagi pada Surah Al-Hajj, ayat 38, "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman".

"Kita yakin syarat bertaqwa dan beriman ini dapat dipenuhi oleh Brunei pada zaman Sultan Saiful Rijal, makanya, Allah pun menolong Brunei dengan menjadikan musuh meninggalkan Brunei. Kita tidak pasti apa sebab-sebab musuh meninggalkan Brunei, tetapi musuh sendiri pasti tahu mengapa mereka itu lari meninggalkan Brunei. Mungkin sahaja mereka ada nampak atau mendapati perajurit Bendahara Sakam yang diketahui hanya berjumlah 1,000 orang itu bukan seribu, tetapi puluhan ribu atau ratusan ribu yang sedia bertempur dengan musuh.

"Siapakah yang selebihnya puluhan atau ratusan ribu itu, siapa? Jawabnya: Tidak mustahil mereka itulah malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk menolong Brunei," jelas Yang Berhormat.

Tegas Yang Berhormat, perkara ini jangan ditertawakan, tetapi wajib diyakini berdasarkan ayat-ayat Allah yang telah kita sebutkan terdahulu. Kerana berlakunya pertolongan Allah itulah, makanya musuh sampai naik takut, lalu Dr. Fransisco de Sande mengarahkan askar-askarnya untuk pulang sahaja ke Manila.

Demikian itu, jelas Yang Berhormat, penangan 'takut' menjadikan musuh kehilangan diri dan ketandusan semangat. Firman Allah pada Surah Aali 'Imran, ayat 151, "Kami (Allah) akan mengisi hati-hati mereka (orang-orang kafir) dengan perasaan takut".

"Sila perhatikan, tidakkah di sini, perasaan takut itu juga adalah tentera Allah? Ya manakala perasaan takut (tentera Allah jenis ini) dicampak ke dalam hati-hati musuh, maka musuh boleh sahaja berkeadaan tidak keruan, termasuk lari menyerah kalah. Tentera Allah, ya tentera Allah," tegas Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat lagi, orang tidak beriman memang tidak memahami perkara ini. Mereka tidak tahu bahawa malaikat adalah tentera Allah. Mereka tidak faham bahawa api adalah tentera Allah. Air juga tentera Allah. Api yang panas boleh bertukar sejuk menyelamatkan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam atas sifatnya tentera Allah.

Air juga, tambah Yang Berhormat, telah memusnahkan penentang-penentang Nabi Nuh 'Alaihissalam. Laut, juga ternyata tentera Allah membantu Nabi Musa dan kaumnya menyelamatkan diri daripada kejaran Firaun dan sekali gus menelan mati firaun dan askar-askarnya, burung juga adalah tentera Allah.

Contoh ialah burung ababil dalam Surah Al-Fiil yang melontarkan peluru kepada tentera bergajah yang hendak meruntuhkan Kaabah. Angin taufan dan hujan batu menghancurkan kaum Luth, dan jangan lupa perasaan takut juga adalah tentera Allah, boleh rujuk Al-Quran Al-Karim.

"Alhamdulillah, Brunei kita telah pun selamat kerana pertolongan Allah. Sultan telah selamat kerana pertolongan Allah. MIB selamat kerana pertolongan Allah. Institusi beraja juga selamat kerana pertolongan Allah dan kita semua telah selamat kerana pertolongan Allah. Ya, kerana pertolongan Allah lah musuh angkat kaki meninggalkan Brunei. Sekali lagi, kerana pertolongan Allah lah, musuh angkat kaki meninggalkan Brunei.

"Wahai bangsaku dan sekalian warga negara tercinta, jadikanlah kejadian ini iktibar atau pengajaran, supaya kita selamat. Ingat! Jika MIB selamat, semua kita selamat. Jika MIB selamat, ugama selamat. Jika MIB selamat, negara selamat dan jika MIB selamat, raja kita insyaaAllah, raja kita dengan izin Allah, juga pasti selamat," ujar Yang Berhormat mengakhiri ceramah.