Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Perubatan Jerudong Park
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November. - Pusat Kanser Brunei (The Brunei Cancer Centre - TBCC), Pusat Perubatan Jerudong Park (Jerudong Park Medical Centre - JPMC) telah menerima Anugerah Perak Hari Kanser Sedunia 2026 sempena Kongres Kanser Sedunia yang berlangsung di Hong Kong pada 26 September 2026 yang lalu.
Pengiktirafan tersebut telah membawa nama Negara Brunei Darussalam (NBD) dan JPMC ke peringkat antarabangsa menerusi kempen yang menggunakan seni, muzik dan perkongsian kisah peribadi bagi menyokong individu yang terkesan oleh penyakit kanser.
Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (Union for International Cancer Control - UICC) telah menyampaikan anugerah tersebut atas kejayaan kempen TBCC yang bertajuk 'Bringing Together the Cancer Care Community Through Arts'.
Kempen berkenaan telah dibangunkan berlandaskan tema global Hari Kanser Sedunia, iaitu 'United by Unique' (Bersatu dalam Keunikan).
Pakar Perubatan Perunding dan Ketua Perkhidmatan Pengesanan Awal serta Pencegahan Kanser di TBCC, Datin Dr. Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee telah mempengerusikan kempen tersebut.
Beliau menerima anugerah berkenaan di Hong Kong bersama Pakar Onkologi Perubatan Perunding, Dr. Awang Haji Zulkhairi bin Haji Mohamad dan Ketua Jururawat Klinikal, Dayang Sarinah binti Haji Junaidi.
Kempen tersebut telah berlangsung dari bulan Disember 2025 hingga Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari 2026.
Seramai 42 pesakit dan bekas pesakit kanser telah menyertai sesi terapi seni yang dikendalikan oleh Pengarah Rainforest Gallery, Dato Shofry bin Abdul Ghafor dan ahli terapi seni pemulihan JPMC, Dayang Nadiah Haji Suhaili.
Para peserta menyatakan bahawa sesi tersebut memberikan ruang kepada mereka untuk meluahkan perasaan serta membantu mengurangkan rasa terasing yang dialami.
Pertandingan seni bagi kanak-kanak dan golongan belia telah menerima sebanyak 84 penyertaan. Kempen tersebut turut menampilkan perkongsian kisah daripada bekas pesakit kanser serta persembahan muzik oleh kakitangan TBCC dengan sokongan Expression Music Academy.
"Pengiktirafan ini adalah milik para pesakit, bekas pesakit kanser, keluarga, rakan sekerja dan rakan kerjasama komuniti yang telah berkongsi pengalaman serta membantu menjayakan kempen ini. Penglibatan mereka mengingatkan kita agar terus mendengar dan merancang aktiviti berdasarkan keperluan golongan yang kita berikan perkhidmatan," kata Datin Dr. Hajah Noraslinah.
JPMC telah memberikan penghargaan kepada pasukan TBCC semasa perhimpunan kakitangan (Staff Town Hall) pada 2 November 2026.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC telah mengucapkan tahniah kepada pasukan TBCC serta rakan sekerja yang memberikan sokongan terhadap kempen tersebut.
"Setiap individu yang menerima penjagaan daripada kita mempunyai pengalaman, kebimbangan dan harapan tersendiri. Mendengar luahan mereka serta memberikan sokongan terhadap kesejahteraan emosi mereka merupakan aspek penting dalam penjagaan yang kita sediakan," ujar Yang Berhormat.