Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 7 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu Tahun 2026 iaitu Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM, dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, yang kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan kesimpulannya.
Bacaan Al-Quran dibacakan oleh peserta Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali-9 anjuran Yayasan Budaya Katara, Doha Qatar dengan kerjasama Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam, Doha Qatar Tahun 2026, dan Johan Qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2023 dan 2024, Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid.
Seterusnya sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2026.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah perasmian dan diselajurkan dengan pelancaran dua buah buku bertajuk 'Sihir: Kejahatan Sepanjang Zaman' dan 'Buku Kecil Untuk Mengubat Sihir dan Merawat Kerasukan'.
Antara synopsis buku 'Sihir: Kejahatan Sepanjang Zaman' ini adalah kewujudan sihir bukanlah suatu dongengan atau khayalan. Di dalam Al-Quran, sihir disebut di dalam beberapa ayat, antaranya di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 102 yang menyebutkan bahawa sihir adalah perbuatan syaitan yang diajarkan kepada manusia. Diriwayat oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah tujuh perkara itu?" Baginda bersabda: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak…"
Sihir adalah amalan-amalan yang melibatkan untuk tujuan tertentu berupa kejahatan. Sihir boleh juga disebut sebagai perbuatan guna-guna, dilakukan dengan penggunaan jampi serapah, ritual pemujaan dan meminta pertolongan kepada jin dan syaitan, dan terkadang menggunakan objek tertentu yang biasanya dikaitkan untuk tujuan negatif dan memudaratkan orang.
Sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk tidak terlibat dengan amalan sihir kerana ia boleh membawa kepada penyelewengan akidah. Hukum bagi pengamal sihir, sama ada yang melakukannya, mengajarkannya, mempelajarinya atau yang meminta khidmatnya, adalah haram dan boleh membawa kepada syirik, iaitu dosa menyekutukan Allah Subhanahu Wata'ala. Pelakunya seolah-olah meyakini ada kuasa lain yang mampu memberi kesan setanding dengan kuasa Allah, dan inilah punca kerosakan akidah.
Sementara itu, 'Buku Kecil Untuk Mengubat Sihir dan Merawat Kerasukan' pula mengandungi bacaan dan amalan sebagai ikhtiar untuk menolak kejahatan sihir dan kerasukan.
Kemuncak acara diserikan dengan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2026 bertajuk 'Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara' yang disampaikan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Sejurus selesai, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya berkenan berangkat menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2026.
Pameran pada tahun ini mengetengahkan usaha berterusan daripada kementerian kementerian dan sektor swasta bagi mengukuhkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tonggak kedaulatan negara.
Majlis Ilmu pada tahun ini membawa tema 'Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara', yang mengetengahkan kepentingan falsafah MIB sebagai pegangan dan amalan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam serta tonggak dalam mempertahankan kedaulatan, kestabilan dan keutuhan negara.
Falsafah MIB menegaskan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang melaksanakan ajaran agama Islam dan mengamalkan nilai-nilai murni Islam dengan mengekalkan sistem pemerintahan Melayu yang dipimpin oleh sultan serta memelihara nilai-nilai luhur bangsa Melayu, bahasa, adat resam dan kebudayaan Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Tema tahun ini turut menekankan kepentingan usaha berterusan dalam memelihara dan memperkukuhkan falsafah MIB agar terus kekal relevan sebagai pegangan dan amalan orang Brunei, khususnya dalam kalangan belia.
Majlis Ilmu 2026 akan diteruskan dengan Forum Perdana Majlis Ilmu 2026 pada 12 November 2026 dan Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2026 pada 14 November 2026, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.