Kejohanan Taekwondo Piala Duta Korea Ke-6 buka tirai

8 Og 2026 - 6:28am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Kira-kira 300 atlet dari Negara Brunei Darussalam dan negara-negara jiran berhimpun bagi menyertai Kejohanan Taekwondo Brunei Darussalam Piala Duta Korea Kali Ke-6 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Duta Besar Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Sun Nam-kook, Presiden Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA), Awang Haji Tajuddin bin Haji Mohd. Salleh, serta ahli-ahli komuniti taekwondo.

Dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Yang Terutama Duta Besar Republik Korea ke NBD menjelaskan bahawa taekwondo, seni mempertahankan diri kebangsaan Republik Korea, bukan sekadar satu sukan, malah menjadi medium untuk membentuk disiplin, rasa hormat, ketabahan dan kawalan diri.

Menurutnya, nilai-nilai tersebut menjadikan taekwondo bukan sahaja penting dalam pertandingan, malah turut diterapkan dalam kehidupan seharian.

Beliau turut berkata kejohanan tersebut memberi peluang kepada para atlet untuk menguji kemampuan diri, mempelajari pengalaman antara satu sama lain serta mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara Republik Korea dan NBD menerusi sukan.

Kejohanan yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos itu mempertandingkan acara kyorugi (sparring) dan poomsae, melibatkan pelbagai kategori penyertaan.

Penganjuran tahunan itu merupakan hasil kerjasama Kedutaan Besar Republik Korea di NBD bersama BDTA sebagai usaha berterusan untuk mempromosikan sukan taekwondo serta memperkukuh hubungan dan pertukaran sukan antara Republik Korea dan NBD.