Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohammad Hasif Matzin
JERUDONG, Isnin, 2 November. - Dalam usaha berterusan meningkatkan kemudahan serta memperkenalkan pengalaman rekreasi baharu, Julangan Kasih Sdn. Bhd. telah merasmikan pelancaran T-Active, sebuah kemudahan sukan dan rekreasi baharu di Tarindak d’Polo, Jerudong, di sini.
Majlis perasmian gelanggang T-Active telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir pihak-pihak berkepentingan, ahli-ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan para jemputan.
Majlis turut diisikan dengan tayangan video mengenai T-Active dan kemudahan-kemudahannya serta pelancaran logo.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Awang Muhammad Ikhwan bin Mahni / Azizan.
Dengan slogan ‘Play. Dine. Connect.’, T-Active bertujuan untuk menghimpunkan masyarakat melalui sukan, rekreasi dan pengalaman menjamu selera.
Kemudahan ini menawarkan gelanggang pickleball dan badminton tertutup yang baharu, di samping kemudahan kolam renang dan snuker sedia ada, memberikan para pengunjung pelbagai pilihan aktiviti di satu lokasi.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif menyatakan bahawa T-Active menandakan satu babak baharu bagi Julangan Kasih Sdn. Bhd. apabila kumpulan tersebut mengembangkan perniagaannya melangkaui bidang makanan dan hospitaliti ke bidang sukan dan rekreasi.
T-Active bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif di samping menyediakan ruang yang mesra untuk keluarga, rakan-rakan dan komuniti. Ia juga menawarkan peluang untuk perhimpunan sosial, aktiviti korporat dan acara-acara sukan.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan Julangan Kasih Sdn. Bhd. dalam mencipta pengalaman baharu dan menghimpunkan masyarakat melalui sukan dan pengalaman menjamu selera.