Doa Kesyukuran sempena Sambutan HPPPN ke-16

3 Nov 2026 - 8:00am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JUNJONGAN, Isnin, 2 November. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) petang tadi mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil, Membaca Doa Kesyukuran serta diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah sempena Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) Kali Ke-16 Tahun 2026, bertempat di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, di sini.

HPPPN berkenaan telah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa baginda merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009 pada 19 November 2009 bertempat di Taman Agroteknologi Brunei, Kampung Tungku.

Dengan pengisytiharan itu, HPPPN telah disambut pada setiap 1 November setiap tahun bagi mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa para peladang, petani, penternak dan nelayan dalam peranan mereka selaku penjana makanan bagi negara ini.

Hadir ialah Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut sama hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan di bawah KEPI.

Juga hadir, peladang-peladang, petani-petani, penternak-penternak dan nelayan-nelayan serta pengusaha-pengusaha agrimakanan di seluruh negara.