Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
GADONG, Ahad, 18 Oktober. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menganjurkan Program Jamboree on the Air (JOTA) dan Jamboree on the Internet (JOTI) 2026 dari 17 hingga 18 Oktober 2026 di Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, dengan membawa tema 'A Peaceful and Inclusive World' atau 'Dunia yang Aman dan Inklusif'.
Sebagai salah satu program pengakap terbesar di peringkat antarabangsa, JOTA-JOTI menyediakan ruang kepada golongan belia untuk berhubung dengan rakan-rakan pengakap dari seluruh dunia melalui komunikasi radio amatur dan internet.
Program ini menggalakkan pembelajaran melalui pengalaman, pertukaran budaya, kreativiti serta penggunaan teknologi secara positif, selaras dengan aspirasi World Organization of the Scout Movement (WOSM) dalam membangunkan belia yang aktif, berkemahiran dan mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Program tahun ini turut membawa nilai sejarah tersendiri apabila menandakan 50 tahun penyertaan Pengakap Brunei dalam JOTA. Rekod akhbar Pelita Brunei bertarikh 20 Oktober 1976, melalui laporan bertajuk 'S.U.K. mulakan Jambori Di-Udara', merakamkan aktiviti Jamboree on the Air di Istana Pantai, Tutong.
Rekod tersebut turut memperlihatkan penglibatan beberapa pergerakan belia di Brunei termasuk Pandu Puteri bersama - sama pengakap, mencerminkan semangat kerjasama dan persahabatan yang telah lama menjadi sebahagian daripada perjalanan gerakan belia di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PPNBD, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abdul Hadi.
Turut hadir ialah, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kelab Radio Amatur Pengakap PPNBD, Skipper Haji Abd. Jamal bin Haji Abd. Rahman, V85AJK, dan Yang Di-Pertua Brunei Darussalam Amateur Radio Association (BDARA), Mejar (B) Haji Tamat bin Haji Lampoh, V85T, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama.
Hadir sama ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Skipper Haji Junaidi bin Haji Hussin, barisan Pesuruhjaya Pengakap, pemimpin-pemimpin, ahli - ahli pengakap, wakil-wakil Pandu Puteri serta jemputan khas.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pesuruhjaya Ibu Pejabat, Bahagian Media & IT PPNBD, Awang Muhammad Arman Jahran bin Abdullah Besi, menekankan bahawa JOTA-JOTI bukan sekadar aktiviti komunikasi, tetapi merupakan peluang bagi belia untuk belajar, meneroka teknologi dan membina persahabatan tanpa sempadan.
"Walaupun teknologi komunikasi telah banyak berubah sepanjang lima dekad ini, matlamatnya tetap sama - menghubungkan persahabatan, memperluas pengetahuan dan mengukuhkan persaudaraan pengakap sedunia," ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa rekod yang ditemukan menunjukkan penyertaan pengakap Brunei dalam JOTI sejak tahun 2008. Sejak itu, pengakap Brunei terus mengikuti program tersebut bersama-sama rakan pengakap dari pelbagai negara, dengan tahun 2028 bakal menandakan 20 tahun penyertaan berdasarkan rekod berkenaan.
Kerjasama erat antara PPNBD dengan BDARA merupakan antara elemen penting dalam menjayakan program JOTA-JOTI. Sokongan dan perkongsian kepakaran komuniti radio amatur telah membantu membuka peluang kepada ahli-ahli pengakap untuk mengenali komunikasi radio, mempelajari kemahiran teknikal dan memahami peranan komunikasi dalam menghubungkan masyarakat.
Kerjasama yang telah terjalin sekian lama ini mencerminkan kepentingan perkongsian strategik antara gerakan pengakap dengan komuniti profesional dan sukarelawan dalam memperkaya pengalaman pembelajaran belia.
PPNBD merakamkan penghargaan kepada BDARA, Kelab Radio Amatur Pengakap serta semua pihak yang terus menyumbang kepada kesinambungan program ini.
Seiring dengan perkembangan teknologi, Bahagian Media & IT PPNBD, dengan kerjasama bahagian-bahagian berkaitan, sedang mengkaji dan membangunkan rangka kerja mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) dalam organisasi.
Menurut Awang Muhammad Arman Jahran, usaha ini bertujuan meneroka potensi AI untuk menyokong komunikasi, perkongsian pengetahuan dan pengurusan organisasi secara berhemah serta bertanggungjawab, selaras dengan keperluan PPNBD dan nilai-nilai pengakap.
Melalui JOTA-JOTI 2026, PPNBD berharap agar lebih ramai belia dapat memanfaatkan teknologi untuk belajar, bekerjasama dan membina hubungan dengan komuniti antarabangsa.
Selaras dengan tema 'A Peaceful and Inclusive World', program ini turut membawa mesej bahawa setiap belia mempunyai peranan dalam membina dunia yang lebih aman, inklusif dan saling menghormati.