Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
SERIA, Jumaat, 2 Oktober. - Jelajah Kerjaya 2026 buat kali ketiga, yang akan berlangsung di keempat-empat daerah yang dianjurkan oleh Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), diteruskan pada hari ini di Pusat Insani, Seria bagi siri jelajah di Daerah Belait.
Acara yang diadakan selama tiga hari bermula kelmarin dan akan berakhir pada 3 Oktober 2026 tersebut memberi peluang khususnya bagi para pencari pekerjaan di Daerah Belait untuk menyertai segala aktiviti yang ditawarkan dalam jelajah kerjaya berkenaan.
Jelajah kerjaya di Daerah Belait pada sebelah pagi tadi antara lain turut diisikan dengan sesi perkongsian taklimat ‘InfoTalk’ mengenai peluang pekerjaan dan kerjaya daripada Jel Borneo Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Pengurus Projek Lapangan, Yee Kian Hock.
Jelajah Kerjaya 2026 mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 106 pempamer, terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta dengan menawarkan lebih 1,445 peluang pekerjaan kepada pencari kerja tempatan merangkumi pelbagai sektor, antaranya perdagangan, hospitaliti, insurans, pendidikan, teknologi, pengangkutan dan sektor-sektor lain.
Selain peluang pekerjaan, Jelajah Kerjaya 2026 turut membuka ruang kepada orang ramai untuk meneroka laluan kerjaya alternatif, termasuk membina perniagaan sendiri, menjana pendapatan secara lebih fleksibel serta memanfaatkan peluang dalam ekonomi gig (gig economy) di Negara Brunei Darussalam.
Jelajah Kerjaya bukan sahaja merupakan landasan bagi pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan, malah turut menjadi landasan yang menghimpunkan pencari kerja, majikan dan pihak-pihak berkepentingan utama dalam ekosistem kerjaya yang lebih luas.
Sepanjang Jelajah Kerjaya 2026, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan berkaitan kerjaya turut disediakan untuk membantu pencari kerja membuat persediaan, meneroka peluang dan berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan.
Antaranya termasuklah pendaftaran akaun PPB dan pengaktifan akaun e-Darussalam; Konsultasi Curriculum Vitae (CV) dan persediaan temu duga; pameran dan sesi interaksi bersama syarikat-syarikat; temu duga terbuka; taklimat dan sesi perkongsian bersama pakar industri; Career 360; Career Discovery Hub; Bengkel Bahasa Isyarat; Safe Space oleh Kementerian Kesihatan; pertandingan dan aktiviti interaktif dan perkhidmatan serta aktiviti lain yang berkaitan dengan pembangunan kerjaya.
Para pencari kerja adalah dialu-alukan untuk menghadiri Jelajah Kerjaya 2026 dan disarankan membawa salinan fizikal dan digital CV terkini, berserta dokumen-dokumen berkaitan, bagi memudahkan proses permohonan dan temu duga.
Pencari kerja juga digalakkan untuk mengambil peluang menghadiri temu duga terbuka yang dikendalikan secara langsung oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, selain berpeluang menghantar CV secara digital kepada bakal majikan.
Jelajah Kerjaya 2026 seterusnya akan diadakan di Daerah Tutong pada 6 dan 7 Oktober 2026 di Dewan Utama dan Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, dan di Daerah Temburong selama satu hari pada 10 Oktober 2026 di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.
Sementara itu, kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 akan berlangsung di Daerah Brunei dan Muara selama empat hari, dari 15 hingga 18 Oktober 2026, di Dewan 1 dan Dewan 2, BRIDEX, Jerudong.
Kesemua acara akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali pada Jumaat, acara akan ditutup sementara dari pukul 11.30 pagi hingga 2.00 petang. Bagi Jelajah Kerjaya 2026 di Daerah Brunei dan Muara, perkhidmatan fotokopi berbayar turut disediakan bagi kemudahan para pencari kerja.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jelajah Kerjaya 2026 bolehlah menghubungi PPB melalui WhatsApp di +673 7291785 / +673 8239933 atau mengikuti akaun Instagram ‘@jobcentrebrunei’ untuk mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini.
Manakala Buku Panduan Jelajah Kerjaya 2026 juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang ‘www.jobcentrebrunei.gov.bn’.