Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERIBI, Ahad, 27 September. - Koperasi Kesuma Mekar Berhad (KKMB) dan Sekolah Kesuma Mekar (SKM) telah mengadakan Majlis Sambutan Jubli Perak Penubuhan KKMB dan Hari Guru dengan penuh meriah bagi menghargai jasa, pengorbanan dan sumbangan para pengasas, pemimpin KKMB dan SKM serta tenaga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bangunan Ibu Pejabat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Kompleks Pengakap Jalan Gadong, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengelola SKM, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa setakat ini, seramai 357 orang berdaftar di sekolah berkenaan.
Jelasnya lagi, pada masa ini KKMB sedang giat membuat perancangan dengan melantik arkitek bagi mereka bentuk sebuah bangunan sekolah kekal dengan tujuan untuk membina sebuah sekolah rendah di Kampung Lugu.
Acara kemuncak bagi majlis berkenaan ialah penyampaian Anugerah Khas kepada pengasas-pengasas KKMB, mantan pengerusi dan guru besar, ahli lembaga, guru dedikasi dan murid SKM yang cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis turut diserikan lagi dengan beberapa persembahan oleh murid-murid SKM.