Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. – Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini sedang melalui satu perubahan demografi yang sangat ketara dengan jangka hayat seseorang lebih lama, namun kadar kesuburan semakin menurun.
Dalam tempoh hanya sedekad, peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas telah meningkat lebih daripada dua kali ganda. Menjelang 2036, satu titik perubahan penting dijangka berlaku apabila bilangan warga emas melebihi bilangan kanak-kanak buat pertama kalinya.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Majlis Pembukaan Bengkel Perancangan Strategik 1 bagi pembangunan Pelan Hala Tuju Kebangsaan 10 Tahun Ke Arah Penuaan Berjaya di Negara NBD bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.
Menurut Yang Berhormat, pada umumnya, jangka hayat yang lebih panjang merupakan satu pencapaian pembangunan yang mencerminkan kemajuan sesebuah negara dari segi kesihatan, taraf hidup dan kesejahteraan sosial.
Namun demikian tambah Yang Berhormat lagi, pencapaian berkenaan perlu juga dilihat dalam konteks yang lebih luas, sebagai satu isu yang merangkumi keseluruhan kitaran kehidupan (life-course) dan melibatkan seluruh lapisan masyarakat (whole-of-society), yang bermula jauh sebelum seseorang memasuki usia tua.
"Keputusan dan pelaburan yang kita buat pada hari ini dalam aspek kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perlindungan sosial serta persekitaran yang kondusif akan mempengaruhi sejauh mana seseorang dapat kekal sihat dan berdikari, terus terhubung secara sosial dan aktif dari segi ekonomi, serta memperolehi sokongan dan penjagaan yang diperlukan apabila usia semakin meningkat.
"Sesi pada hari ini memberi kita peluang untuk meneliti bagaimana usaha-usaha sedia ada dapat diperkukuh dan diselaraskan secara lebih bersepadu sebagai asas kepada penggubalan Pelan Hala Tuju Kebangsaan Ke Arah Penuaan Berjaya (National Roadmap for Successful Ageing).
"Bengkel selama dua hari ini menghimpunkan pegawai-pegawai kanan daripada kementerian dan agensi yang berkaitan untuk membincangkan hala tuju jangka panjang negara ke arah penuaan berjaya (successful ageing)," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan berlandaskan Pelan Tindakan Warga Emas 2025-2030 : Ke Arah Penuaan Berjaya serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara, para peserta akan meneliti cadangan visi, misi dan nilai-nilai teras bagi Pelan Hala Tuju berkenaan, mengenal pasti bidang-bidang keutamaan untuk tindakan dalam tempoh sedekad akan datang, serta meneroka pendekatan bagi menilai kemajuan pelaksanaannya.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat berharap pandangan dan sumbangan daripada setiap sektor amat penting, memandangkan kepelbagaian pengalaman dan kepakaran yang ada akan membantu memastikan ‘roadmap’ berkenaan dibangunkan secara menyeluruh, relevan serta mengambil kira keperluan dan keutamaan negara.
Di peringkat kerajaan tambah Yang Berhormat lagi, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi menyokong kesejahteraan warga emas, di samping memperkukuh peranan keluarga dan masyarakat dalam menghadapi perubahan demografi negara.
Dalam konteks ini kata Yang Berhormat, keluarga akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan dan penjagaan kepada warga emas. Pada masa yang sama, realiti serta cabaran yang dihadapi oleh keluarga dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan perancangan bagi menghadapi penuaan penduduk perlu mengambil kira bukan sahaja keperluan warga emas, tetapi juga keupayaan keluarga dalam melaksanakan tanggungjawab penjagaan serta ketersediaan sistem sokongan yang bersesuaian.
Keluarga kata Yang Berhormat, perlu diperkasa dan disokong melalui sistem serta perkhidmatan yang kukuh dan berkesan, agar tanggungjawab penjagaan warga emas dapat dilaksanakan secara bersama dan tidak diletakkan sepenuhnya di bahu keluarga.
"Sehubungan itu, tiga objektif utama yang dibincangkan pada sesi hari ini, pertama, membina kefahaman bersama berasaskan bukti mengenai perubahan demografi yang sedang berlaku, cabaran dan peluang yang mungkin timbul, serta bidang-bidang yang perlu diperkukuh bagi meningkatkan kesiapsiagaan NBD.
"Kedua, kita perlu melihat isu penuaan secara menyeluruh dan merentas sektor. Penuaan berjaya (succesful ageing) bukanlah tanggungjawab satu sektor sahaja, tetapi memerlukan pendekatan bersepadu yang merangkumi kesihatan, tenaga kerja, keluarga, perumahan, pengangkutan, teknologi, sokongan masyarakat dan perlindungan sosial.
"Ketiga, kita perlu menterjemahkan pandangan masa hadapan kepada hala tuju yang jelas. Ini termasuk mengenal pasti isu yang perlu ditangani lebih awal, menetapkan hasil yang ingin dicapai untuk rakyat, serta menentukan keutamaan, peranan dan sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan ‘roadmap’ yang berkesan,” ujar Yang Berhormat lagi.
Dalam mempertimbangkan ketiga-tiga objektif berkenaan, Yang Berhormat menyarankan agar kita perlu berpandangan jauh, namun kekal realistik dan praktikal. Kita perlu mengambil kira usaha yang telah menunjukkan hasil, mengenal pasti jurang dan cabaran yang masih wujud, serta memberikan tumpuan kepada langkah-langkah yang mampu membawa perubahan bermakna dalam jangka masa yang panjang.
Usaha menghadapi perubahan demografi jelas Yang Berhormat lagi, perlu menjangkaui keperluan penduduk yang semakin menua, dengan memastikan setiap individu berpeluang meniti usia dengan sihat dan sejahtera, disokong oleh keluarga, masyarakat dan sistem negara yang kukuh serta berdaya tahan.
"Apa yang diharapkan adalah kefahaman dan hala tuju yang jelas dalam menetapkan keutamaan bagi penggubalan Pelan Hala Tuju Kebangsaan 10 Tahun Ke Arah Penuaan Berjaya (National 10 years Roadmap for Successful Ageing), ke arah membina masa hadapan yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan bagi NBD," ujar Yang Berhormat lagi.