Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Isnin, 28 September. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Pusat Pembangunan Belia (PPB) dengan kerjasama Aewon Garment Sendirian Berhad (Aewon Garment) menganjurkan Style District 2026, iaitu sebuah platform kreatif yang menghubungkan usahawan belia dalam bidang fesyen dan tekstil bersama pakar industri serta komuniti kreatif selama tiga hari bermula pada hari ini hingga 30 September 2026, bertempat di Mawaddah Hall 1, Level 7, Setia Point mulai pukul 11.00 pagi hingga 9.00 malam.
Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Style District 2026 diadakan petang tadi dan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Projek keusahawanan berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 dengan memberi fokus peralihan daripada pembelajaran di dalam bengkel latihan kepada pengalaman perniagaan sebenar.
Melalui platform berkenaan, pelatih PPB mahupun graduan dan alumni dalam bidang Fashion Design Technology diberi ruang untuk menguji idea, membangun produk, membina portfolio, meningkatkan jualan serta berhubung secara langsung dengan pakar dalam industri serta orang awam.
Style District 2026 merupakan sebuah platform yang sangat penting kerana kemahiran teknikal sahaja belum memadai tanpa pendedahan secara langsung ke ruang perniagaan sebenar.
Melalui platform berkenaan, para usahawan belia di bidang ekonomi kreatif akan dapat mengembangkan cetusan idea di dalam bengkel latihan pada pembinaan produk yang mempunyai nilai komersial, dan seterusnya membantu para belia memicu keupayaan diri daripada ‘I made this’ kepada ‘I build this brand’.
Acara selama tiga hari berkenaan juga mengetengahkan bidang Fashion Design Technology dengan menggabungkan ‘marketplace’, pameran fesyen, bengkel kemahiran kreatif serta membina jaringan perniagaan antara pempamer dan orang awam.
Seramai 11 pempamer usahawan belia yang terdiri daripada alumni PPB termasuk mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Brunei terlibat dalam pameran fesyen, iaitu Cerita Fabrikku, Mes Mannequin by Hamizah Efendy, Heritage Crafts by Zoha, Adinah's Couture, Butik Zulaishah, Perusahaan Mazroni dan Rakan-rakan, Gentleman Stitch Enterprise, Tapih Rancung Company, Aewon Garment serta para usahawan belia lainnya termasuk jenama baharu (home-based), Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah dihimpunkan untuk mempamerkan produk serta idea inovatif masing-masing.
Antara kategori jualan yang ditawarkan termasuk makanan dan minuman (F&B), produk seni kreatif, aksesori, ‘apparel’ serta pelbagai produk gaya hidup. Inisiatif berkenaan diharap mampu mempromosi jenama tempatan dan membuka peluang kolaborasi antara komuniti kreatif, industri dan usahawan belia di negara ini.
Selain pameran fesyen, Style District 2026 juga menganjurkan bengkel-bengkel kemahiran kreatif bagi penglibatan orang ramai. Melalui penganjuran bengkel-bengkel berkenaan, orang ramai akan diberi pendedahan kepada konsep kemahiran ‘learn, make and earn’ agar mereka memperoleh kemahiran baharu di samping menghasilkan produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah, dan meneroka potensi sumber pendapatan.
Kerjasama PPB bersama rakan strategik Aewon Garment yang sudah terjalin semenjak 2019, adalah termasuk pembinaan PPB-Aewon Incubation Centre yang telah memberi pendedahan kepada usahawan belia dalam aspek pengeluaran, konsultasi produk dan pembangunan produk.
Pada tahun ini, PPB akan meneruskan kerjasama bersama Aewon Garment melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas sokongan dalam bidang fesyen dan tekstil kepada para pelatih PBB khasnya dan belia di Negara Brunei Darussalam (NBD) amnya.
Melalui sokongan para pengunjung, platform keusahawanan belia yang dianjurkan oleh KKBS ini melalui PPB akan terus berperanan sebagai inisiatif strategik dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan usahawan belia di NBD.