Industri sukan berpotensi jadi sektor strategik ekonomi negara

12 Og 2026 - 7:35am

 

Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Industri sukan mempunyai potensi untuk diperkembangkan sebagai salah satu sektor strategik yang mampu menyumbang kepada kepelbagaian dan pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjana peluang pekerjaan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, berkata perkara tersebut selaras dengan pandangan kementerian bahawa sukan bukan sahaja berperanan dalam meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan rakyat, malah mempunyai nilai ekonomi yang perlu dimanfaatkan.

Berucap demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat, pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan bahawa kementerian akan menyusun dan menstrukturkan perkembangan sektor berkenaan secara lebih teratur dan sistematik pada masa akan datang.

Menurut Yang Berhormat, peningkatan penyertaan masyarakat dalam pelbagai acara sukan, termasuk sukan komuniti seperti larian, berbasikal, kejohanan sukan rekreasi dan aktiviti kecergasan, telah membuka ruang kepada perusahaan tempatan untuk terlibat dalam pelbagai bidang.

Antaranya termasuk pengurusan acara, pembekalan peralatan dan pakaian sukan, penyediaan makanan dan minuman, pengangkutan, penginapan, pemasaran digital serta perkhidmatan kreatif.

Yang Berhormat turut memberikan contoh penganjuran Festival Sukan yang baru-baru ini dilaksanakan sebagai antara inisiatif pengurusan acara melalui kerjasama pihak kerajaan. Penganjuran berkenaan bukan sahaja menggalakkan penyertaan orang ramai, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta menggerakkan pengusaha mikro, kecil dan sederhana di sekitar lokasi acara.

Selain itu tambah Yang Berhormat, penganjuran The Brunei Half Marathon 2025 di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien melalui pendekatan kerjasama menyeluruh yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan strategik, termasuk Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, turut memperlihatkan potensi acara sukan sebagai pemangkin aktiviti ekonomi. Acara tersebut berjaya menarik seramai 3,028 peserta, termasuk 162 peserta antarabangsa.

Dalam pada itu terang Yang Berhormat lagi, penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa seperti wushu, karate, ‘fencing’, golf dan tenis, serta acara larian berskala besar, turut menjadi tarikan kepada atlet, pegawai dan penyokong dari luar negara.

Menurut Yang Berhormat, perkembangan tersebut secara tidak langsung menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan tempatan, selain membantu memperkenalkan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi bagi penganjuran acara sukan.

Dari perspektif industri permainan dan kandungan digital pula, Yang Berhormat Menteri menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) turut memperkukuh rantaian pembangunan bakat serta penghasilan produk yang berpotensi untuk dikomersialkan dalam industri permainan digital, termasuk aplikasi berkaitan sukan.

Dalam konteks tersebut, Yang Berhormat menegaskan bahawa pembangunan industri sukan perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang memerlukan kerjasama erat antara kementerian dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan, sektor swasta, institusi pendidikan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pihak berkepentingan yang lain.

Yang Berhormat seterusnya berkata Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam mengenal pasti dan meneroka peluang baharu, di samping menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong perkembangan industri sukan sebagai salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Usaha tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan mampan dengan mengambil kira permintaan pasaran, kapasiti industri, aspek keselamatan, tadbir urus serta kualiti penganjuran kongsi Yang Berhormat.

“Langkah berkenaan diharap dapat memastikan perkembangan industri sukan memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat, pengusaha tempatan dan ekonomi negara, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta membangunkan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan,” jelas Yang Berhormat.