Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Ahad, 27 September. - Sebanyak 132 pasukan yang terdiri daripada 264 peserta menyertai cabaran kecergasan HeartROX yang berlangsung hari ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas, sebagai aktiviti pertama sempena Festival Kesihatan Hari Jantung Sedunia 2026 anjuran Gleneagles JPMC.
HeartROX yang diperkenalkan buat kali pertama dalam sambutan Hari Jantung Sedunia tahunan Gleneagles JPMC itu melibatkan 42 pasukan lelaki, 42 pasukan wanita dan 48 pasukan beregu campuran.
Berangkat menyertai acara berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Acara berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC.
Hadir sama ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC, serta pihak pengurusan dan kakitangan Gleneagles JPMC.
HeartROX menghimpunkan masyarakat menerusi aktiviti kecergasan, semangat berpasukan dan persaingan sihat.
Festival Kesihatan Hari Jantung Sedunia 2026 diadakan bersempena Hari Jantung Sedunia yang diraikan pada 29 September setiap tahun. Festival berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kesihatan kardiovaskular, di samping menggalakkan orang ramai mengambil langkah proaktif dalam mencegah penyakit jantung melalui gaya hidup lebih sihat dan pengurusan faktor risiko berkaitan penyakit kardiovaskular.
Festival Kesihatan Hari Jantung Sedunia tahun ini akan menampilkan pelbagai aktiviti yang akan diadakan sepanjang bulan akan datang, menawarkan peluang kepada masyarakat untuk kekal aktif, mempelajari lebih lanjut mengenai kesihatan jantung serta menyertai pelbagai bentuk aktiviti kecergasan dan rekreasi.
Antara aktiviti seterusnya ialah 'Run for Your Heart' yang akan menampilkan kategori larian 10 kilometer bagi lelaki dan wanita, larian santai atau 'Fun Run' sejauh lima kilometer serta larian berkostum sejauh tiga kilometer.
Selain itu, 'Pick-A-Heart Challenge' akan menyatukan komuniti melalui sukan pickleball yang menampilkan kategori Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran.
Festival tersebut juga akan menampilkan Pavilion Kesihatan Jantung dalam aktiviti-aktiviti akan datang, yang menghimpunkan pelbagai fungsi dan perkhidmatan Gleneagles JPMC bagi memberikan orang ramai pemahaman yang lebih mendalam mengenai kesihatan dan penjagaan kardiovaskular.
Festival Kesihatan Hari Jantung Sedunia 2026 turut mendapat sokongan pelbagai rakan kongsi rasmi. Limin Cardio Fitness merupakan rakan kongsi aktiviti bagi acara 'Run for Your Heart', Helmi Abdullah Fitness bagi HeartROX, manakala RYS Entertainment bagi 'Pick-A-Heart Challenge'.
Turut menyokong festival berkenaan ialah Guardian Brunei sebagai Rakan Kongsi Kesejahteraan Rasmi; Suci Water dan C1000 sebagai Rakan Kongsi Hidrasi Rasmi; Frosthaus sebagai Rakan Kongsi Pemulihan Rasmi; serta Pusat Perubatan Jerudong Park sebagai Rakan Kongsi Perubatan Rasmi.
Dalam pada itu, Gleneagles JPMC untuk meneruskan lagi Festival Kesihatan ini sempena Hari Jantung Sedunia bagi tahun 2026 melalui aktiviti-aktiviti akan datang sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk kekal aktif, mempelajari tentang kesihatan jantung, dan mengutamakan kesihatan kardiovaskular.