Hala tuju jelas penting tingkat prestasi, daya saing syarikat

1 Okt 2026 - 8:16am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengiktiraf pencapaian yang menggalakkan oleh syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) setakat ini, di samping usaha  penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan.

Semasa berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-231 dan  Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas  Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-117 bagi Suku Ketiga Tahun 2026 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah menekankan kepentingan hala tuju yang jelas bagi mencapai potensi setiap syarikat, termasuk keutamaan dan pilihan strategik yang diperlukan bagi menyokong prestasi dan daya saing jangka panjang. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah perhatian turut diberikan kepada kepentingan penyelarasan dan kerjasama yang berkesan dalam kalangan syarikat-syarikat BSJV. 

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah DYMM di sini dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.

Sejurus bacaan Doa Selamat dibacakan, mesyuarat diteruskan dengan Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah. 

Mesyuarat telah membincangkan beberapa perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, keselamatan dan kebolehpercayaan operasi, pembangunan tenaga kerja serta perancangan perniagaan. 

Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha untuk terus meningkatkan prestasi dan daya saing syarikat-syarikat berkenaan, di samping memperkukuh keupayaan bagi menjana nilai secara mampan dalam menghadapi perubahan persekitaran perniagaan dan tenaga.  

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan dari BLNG dan BGC.

Kebawah DYMM seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-198 bagi Suku Ketiga Tahun 2026 pada Khamis, 1 Oktober 2026.