Filem ‘AIN - Mata Yang Membunuh’ ketengahkan kesedaran penggunaan media sosial

3 Okt 2026 - 8:23am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 

TUNGKU LINK, Jumaat, 2 Oktober. - Filem tempatan ‘AIN - Mata Yang Membunuh’, terbitan Azzawj Media Films, diraikan menerusi Tayangan Perdana Rasmi yang berlangsung di Lecture Theatre, The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Hadir selaku tetamu kehormat, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Abdul Hafiz bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir, bersama Yang Amat Mulia Pengiran Hajah Nur Izzati binti Pengiran Haji Abdul Wahab.

Turut hadir ialah para tetamu jemputan, wakil-wakil industri kreatif, rakan kerjasama, penaja, barisan pelakon dan kru produksi, penggiat seni serta media tempatan.

‘AIN - Mata Yang Membunuh’ merupakan sebuah filem bergenre seram, komedi dan thriller yang mengetengahkan isu penyakit ‘ain, iri hati dan kesan pandangan manusia, khususnya dalam dunia moden yang begitu dekat dengan media sosial.

Filem ini mengisahkan Aini, seorang personaliti media sosial yang kehidupannya mula berubah selepas perkongsian mengenai kebahagiaannya mendapat perhatian ramai. 

Kejadian-kejadian aneh yang menyusul membawa Aini dalam perjalanan mencari jawapan mengenai gangguan yang dialaminya.

Selain elemen seram dan suspens, filem ini turut membawa mesej berbentuk kerohanian dan kesedaran mengenai penggunaan media sosial, sifat hasad dengki serta kepentingan menjaga hati dan hubungan sesama manusia.

Antara tarikan dan keunikan filem ini ialah ia merupakan filem pertama yang mematuhi syariah, dengan semua pelakon wanita bertudung dan menjaga aurat, selain menampilkan penampilan khas daripada ramai ‘influencer’ terkenal tanah air.

Penerbitan filem ini turut menjadi sebahagian daripada usaha Azzawj Media Films dalam menyumbang kepada perkembangan industri perfileman dan kandungan kreatif tempatan dengan mengetengahkan cerita yang dekat dengan masyarakat Brunei serta mempunyai identiti dan nilai tersendiri.

Pihak produksi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan penerbitan ‘AIN - Mata Yang Membunuh’, termasuk rakan kerjasama, penaja, barisan pelakon dan kru produksi serta semua individu dan organisasi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Tayangan perdana rasmi ini juga menjadi medan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyumbangkan tenaga, masa dan komitmen sepanjang proses penerbitan filem berkenaan.

‘AIN - Mata Yang Membunuh’ diharapkan dapat memberikan pengalaman tontonan yang bukan sahaja mendebarkan, malah meninggalkan mesej dan renungan kepada para penonton mengenai realiti kehidupan dalam era media sosial.