Fasa Peralihan Monsun berterusan ke penghujung November

2 Okt 2026 - 6:16am

Siaran Akhbar : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan mula memasuki Fasa Peralihan Monsun iaitu satu tempoh peralihan selepas Monsun Barat Daya dan sebelum memasuki Monsun Timur Laut, pada minggu pertama Oktober ini.

Fasa Peralihan Monsun ini dijangka akan berterusan sehingga penghujung November 2026. Sepanjang fasa peralihan monsun, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian NBD.

Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tertinggi semasa Fasa Peralihan Monsun jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Manakala purata hari-hari berhujan bagi Oktober ialah 21 hari dan bagi November ialah 22 hari.

Sepanjang fasa ini, NBD pada lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berkemungkinan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari dan kejadian ribut petir berlaku terutamanya di kawasan pedalaman pada sebelah petang.

Kemudian, merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari manakala keadaan angin bertiup perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah Barat Laut dengan kelajuan 10-30kmsj pada waktu petang serta keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.

Menurut rekod klimatologi, jumlah normal turunan hujan yang direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi Oktober dan November adalah sebanyak 314 mm dan 323 mm.

Berdasarkan tinjauan model iklim daripada pusat-pusat ramalan antarabangsa, keadaan El Niño pada masa ini sedang berlaku dengan intensiti yang semakin menguat. Ramalan terkini menunjukkan kebarangkalian melebihi 90 peratus keadaan El Niño akan berterusan sehingga Februari 2027, dengan intensitinya dijangka mencapai tahap sangat kuat dalam tempoh tersebut.

Keadaan El Niño secara amnya dikaitkan dengan pengurangan aktiviti turunan hujan di NBD, di samping suhu udara yang lebih tinggi dan kelembapan relatif yang lebih rendah.

Walau bagaimanapun, bagi Oktober dan November 2026, jumlah turunan hujan di NBD dijangka masih berada dalam lingkungan normal. Pengurangan turunan hujan yang lebih ketara berkemungkinan berlaku dari Disember 2026 hingga Mac 2027, apabila keadaan El Niño terus berintensiti kuat.

Berdasarkan keadaan cuaca semasa dan model ramalan, tinjauan bermusim bagi NBD iaitu bulan Oktober 2026, ramalan tinjauan bermusim adalah normal dengan anggaran jumlah turunan hujan 250 – 380 mm manakala bulan November 2026, ramalan tinjauan bermusim adalah normal dengan anggaran jumlah turunan hujan 260 – 390 mm.

Untuk mendapatkan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini, orang ramai boleh menggunakan aplikasi bimbit Brunei WX, menghubungi peramal cuaca bertugas melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’. Maklumat cuaca juga boleh didapati melalui Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), serta saluran Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).