Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
WASHINGTON, D.C., AMERIKA SYARIKAT, Isnin, 28 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam, kini berada di Washington, D.C., setelah menghadiri Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-81 di New York, Amerika Syarikat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia hari ini telah membuat perjumpaan bersama Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, The Honorable Howard Lutnick.
Kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai usaha-usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Amerika Syarikat dan Negara Brunei Darussalam.
DYTM juga mengadakan Lawatan Kerja ke Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Virginia, Amerika Syarikat.
DYTM telah diberikan taklimat oleh pegawai-pegawai kanan agensi berkenaan serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.