Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 30 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Republik Singapura.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota memulakan program hari ini dengan keberangkatan ke SAFTI City.
Sejurus keberangkatan tiba di SAFTI City, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad.
Semasa lawatan ke SAFTI City, DYTM telah disembahkan taklimat yang mengetengahkan kerjasama pertahanan yang erat dan telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, serta integrasi teknologi canggih dalam metodologi latihan moden.
Lawatan tersebut turut menampilkan demonstrasi peralatan simulasi medan pertempuran khusus dan sistem udara tanpa pemandu (dron) generasi baharu.
Bagi mengetengahkan tumpuan SAFTI City terhadap kesiapsiagaan operasi yang realistik, DYTM menyaksikan penggunaan peralatan instrumentasi pintar, turut mengendalikan dron, serta mengambil bahagian secara aktif dalam latihan praktikal menembak sasaran menggunakan senapang penembak tepat (‘sniper’).
Dilancarkan pada bulan Mac 2025, SAFTI City merupakan kemudahan pintar generasi akan datang milik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk latihan operasi bandar yang realistik. Ia menyediakan persekitaran kawasan binaan bagi tujuan keselamatan dalam negeri, antipengganas, dan bantuan bencana.
Kemudahan ini mengintegrasikan teknologi medan pertempuran moden termasuk dron, robotik, instrumentasi pintar, dan simulator kesan medan pertempuran, bagi meningkatkan kesiapsiagaan taktikal.