Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada dalam Monsun Timur Laut, yang lazimnya akan berterusan sehingga Mac 2027.
Keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga Jumaat, 13 November 2026. Hujan sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan beberapa kawasan negara terutama pada waktu petang dan malam, serta berpotensi berlanjutan sehingga ke awal pagi keesokan hari.
Kelajuan angin meningkat sehingga 45 kilometer sejam (kmsj) semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir. Manakala, di perairan NBD, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, iaitu antara 0.5 meter (m) dan 1.5m.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi kejadian banjir kilat, tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang berlaku semasa hujan lebat berpetir serta keadaan berangin kencang.
Keadaan laut di paras sederhana adalah berbahaya bagi semua bot bersaiz kecil, semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).