Brunei teroka peluang pelaburan, kerjasama di Australia

3 Okt 2026 - 8:14am

Siaran Akhbar dan Foto : Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei

ADELAIDE, AUSTRALIA, Jumaat, 2 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) mengetengahkan peluang pelaburan dalam bidang sekuriti makanan dan peralihan tenaga, di samping mempromosikan sektor pelancongan negara melalui Meja Bulat Pelaburan Brunei serta penyertaan dalam Australia-ASEAN Business Forum 2026, yang diadakan pada 28 September 2026 lalu.

Meja Bulat Pelaburan Brunei tersebut dianjurkan bersama oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Pengerusi Australia-ASEAN Business Forum (AABF), Francis Wong.

Diadakan menjelang forum utama, sesi itu menghimpunkan syarikat dan organisasi Australia terpilih yang dikenal pasti bersama dengan pasukan AABF untuk kaitannya dengan keutamaan makanan dan tenaga Brunei. Sesi tersebut menumpukan perbincangan dengan agensi kerajaan Brunei mengenai potensi pelaburan dan kerjasama.

Hadir pada sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, merangkap Timbalan Pengerusi BEDB serta Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Australia, Puan Yang Terutama Dayangku Nooraslena binti Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin.

Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam bidang agribisnes dan rantaian bekalan makanan bagi memperkukuh daya tahan makanan, serta tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong peralihan tenaga NBD.

Antara yang menyertai sesi tersebut ialah syarikat dan organisasi Australia dalam bidang teknologi pertanian, pelaburan tenaga bersih, pengangkutan dan logistik serta penyelidikan pertanian, selain yayasan teknologi pendidikan STEMSEL dan Adelaide University.

BEDB bersama pegawai Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran, Jabatan Perdana Menteri, turut mengadakan perbincangan bersama para peserta mengenai potensi pelaburan dan kerjasama.

Dalam ucapannya, Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menekankan kepentingan ekonomi yang saling melengkapi antara kedua-dua negara, termasuk pembekalan produk tenaga dan baja dari Brunei ke Australia serta pembekalan produk makanan dan pertanian dari Australia ke Brunei.

Beliau turut mengetengahkan peluang kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong peralihan tenaga Brunei.

“Dengan menggabungkan inovasi dan teknologi Australia dengan sistem pensijilan Halal Brunei serta akses kepada pasaran serantau, kita dapat memperkukuh daya tahan makanan, membangunkan industri agrimakanan bernilai tinggi dan memajukan aspirasi Brunei untuk menjadi hab makanan halal premium global,” jelasnya.

Penyertaan Brunei turut diteruskan pada Australia-ASEAN Business Forum yang berlangsung pada 29 hingga 30 September di Adelaide Convention Centre, yang menghimpunkan syarikat Australia dan wakil dari kesemua 11 negara ASEAN.

Pada 29 September, Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Investing in ASEAN Opportunities for the Next Decade’.

Sebelum ucapan berkenaan, video promosi Visit Brunei Year 2027 turut ditayangkan kepada para peserta forum bagi mempromosikan tarikan pelancongan negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong, turut menyertai sesi panel bertajuk ‘Driving Trade, Investment and Connectivity Across Australia and ASEAN’, dengan mengetengahkan NBD sebagai destinasi pelaburan.

Selain itu, reruai NBD yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tinggi NBD dan BEDB turut mempromosikan peluang pelaburan serta Visit Brunei Year 2027.

Penglibatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha BEDB untuk mempromosikan NBD sebagai destinasi pelaburan serta meneroka peluang kerjasama perniagaan bagi menyokong usaha kepelbagaian ekonomi negara.