Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
REPUBLIK SINGAPURA, Selasa, 29 September. - Sebagai sebahagian daripada atur cara rasmi bagi Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Kali Ke-12, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, juga berkenan mengadakan majlis-majlis perjumpaan secara berasingan dengan Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam serta Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Majlis-majlis perjumpaan ini mencerminkan hubungan istimewa yang telah lama terjalin serta kerjasama dua hala yang semakin berkembang antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura.
Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat ke Istana untuk majlis perjumpaan dengan Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh TYT Tharman Shanmugaratnam dan menandatangani Buku Pelawat sebaik sahaja berangkat tiba, sebelum memulakan perbincangan dua hala yang bertujuan untuk mengukuhkan semula hubungan kerjasama istimewa dan sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Semasa majlis perjumpaan antara Duli Yang Teramat Mulia dan TYT Lawrence Wong, Republik Singapura dan NBD menekankan semula hubungan kukuh antara kedua buah negara serta membincangkan peristiwa penting yang bakal tiba, termasuk Ulang Tahun Ke-50 Kerjasama Pertahanan dan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) pada tahun hadapan.
Perbincangan turut merangkumi keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura pada tahun 2027, yang mana Republik Singapura akan menjadi Pengerusi ASEAN.
Kedua-dua negara sedang memajukan beberapa projek ekonomi dan sosial, dengan perjanjian bagi menjamin rantaian bekalan sedang dimuktamadkan, zon makanan agriteknologi sedang dibangunkan, dan program pensijilan makanan halal bersama sedang diwujudkan.
Kedua-dua pihak juga menyambut baik peningkatan berterusan dalam pemberian biasiswa pelajar dan program pertukaran penjawat awam yang terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua buah negara.
Perbincangan juga menumpukan kepada aspek teknologi dan automasi, di mana TYT Lawrence Wong berkongsi pandangan mengenai usaha Republik Singapura menguji kenderaan pandu sendiri bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja.
Beralih kepada aspek keselamatan, TYT Lawrence Wong mengetengahkan peranan penting teknologi pertahanan dan menegaskan bahawa meningkatkan keupayaan ketenteraan tanpa rangka kerja keselamatan yang mantap adalah sangat bahaya.
Menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, TYT Lawrence Wong menekankan kepentingan kritikal untuk memperkukuh kesalingoperasian antara Republik Singapura dan NBD (SG-BD).
Dalam ekonomi global yang semakin berpecah, pembinaan jambatan struktur dan digital antara kedua-dua negara adalah penting untuk menjana pertumbuhan generasi akan datang serta memastikan kestabilan kewangan bersama.
Akhir sekali, DYTM dan TYT turut menyentuh mengenai perkembangan serantau termasuk persediaan Republik Singapura untuk mempengerusi ASEAN, di mana menangani ketegangan geopolitik dan memupuk perdamaian serantau kekal sebagai keutamaan utama dalam dasar luar negara.