Berkenan menyertai Riadah Berkuda

20 Jul 2026 - 8:47am

Oleh : Nooratini Haji Abas, Aimi SaniFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Ahad, 19 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai Riadah Berkuda, HM The Sultan's 80th Birthday Ride sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, pagi tadi.

HM The Sultan's 80th Birthday Ride dianjurkan buat kali ke-4 oleh Persatuan Polo Diraja Brunei yang bermula di Jerudong Park Polo and Riding Club dan berakhir di The Empire Brunei.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda serta cucunda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Presiden Persatuan Polo Diraja Brunei; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Daniya Rahmatul Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Penaung Diraja Persatuan Polo Diraja Brunei dijunjung oleh Pengerusi Persatuan Polo Diraja Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.

Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan disembahkenalkan kepada para pemimpin polo veteran, Persatuan Polo Diraja Brunei dan urus setia, diikuti sesi bergambar ramai.

Pada acara berkenaan, baginda berkenan mengepalai HM The Sultan's 80th Birthday Ride dari Padang No. 1, Jerudong Park Polo and Riding Club menuju ke persisiran Pantai Jerudong.

Berangkat menyertai acara Riadah Berkuda ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Tunggangan melalui kawasan Pasar Pantai Jerudong turut disertai oleh pemain polo veteran persatuan berkenaan. Kebawah DYMM seterusnya melalui kawasan Pantai Siandang Jerudong dan menuju The Empire Brunei.

Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Majlis Santap Pagi dan berkenan memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 yang disembahkan oleh Persatuan Polo Diraja Brunei dan kemudiannya berkenan menerima pesambah.

Keberangkatan bagindabagi menyertai acara seumpamanya jadi inspirasi dan role model terbaik dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.