Berkenan melawat Temasek Holdings

1 Okt 2026 - 7:41am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 30 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, meneruskan program rasmi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Republik Singapura dengan berangkat ke pejabat korporat Temasek Holdings, pada sebelah petang, hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dialu-alukan oleh Pengerusi Temasek Holdings, Teo Chee Hean.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia mengadakan perjumpaan empat mata dengan Pengerusi Teo Chee Hean bagi bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Susulan perjumpaan tersebut, DYTM berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Temasek Holdings sebelum disembahkan taklimat yang menumpukan kepada inisiatif institusi program strategik organisasi berkenaan.

Mengakhiri program sebelah petang itu, DYTM berangkat ke Temasek Shophouse di mana keberangkatan tiba dijunjung oleh Pengerusi Temasek Trust, Puan Ho Ching.

Dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Trust, lawatan berpandu tersebut mengetengahkan aspek pemeliharaan warisan, reka bentuk lestari, serta ciri-ciri impak sosial yang dipacu oleh komuniti di lokasi berkenaan.

Temasek Shophouse merupakan hab impak sosial milik Temasek Trust, iaitu cabang filantropi bagi Temasek Holdings. Bangunan tersebut menggabungkan warisan tempatan yang bersejarah dengan ruang moden bagi projek-projek komuniti, sosial, dan alam sekitar.

Setelah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian besar, hab tersebut dibuka semula pada bulan September 2025. Ia kemudiannya menambah ruang hijau terbuka baharu pada bulan Mac 2026 yang menampilkan ciri-ciri mesra alam seperti panel solar dan sistem pengumpulan air hujan.