Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
REPUBLIK SINGAPURA, Selasa, 29 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Menteri Kanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, bertempat di Grand Hyatt.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Majlis Santap Tengah Hari tersebut dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong.
Majlis ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat dan berkekalan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura.
Perjumpaan tersebut membawa makna sejarah yang istimewa, memandangkan Tuan Yang Terutama merupakan individu yang bersetuju bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memulakan Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan.
Keputusan penting ini dicapai semasa lawatan Tuan Yang Terutama ke NBD pada tahun 2012. Kini memasuki edisi ke-12, YLP terus berkembang dengan meluaskan kerjasama ke bidang-bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan, ekonomi hijau, dan keselamatan makanan di bawah Zon Teknologi Agri-Makanan.
Perbincangan tersebut tertumpu kepada usaha memperkukuh keselamatan makanan di bawah Zon Makanan Teknologi Pertanian (Agri-Tech Food Zone). Bagi melindungi kedua-dua negara daripada gangguan bekalan global, NBD mempelawa syarikat-syarikat Republik Singapura untuk melabur di Brunei bagi tujuan penternakan ayam dan pengeluaran telur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import jarak jauh seperti dari Poland dan Ukraine.
NBD turut mengetengahkan projek akuakultur bersama bagi menternak ikan siakap (Barramundi) yang tahan penyakit.
Pada akhir majlis, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota memuji kejayaan berterusan YLP Singapura-Brunei sejak ia dimulakan semasa tempoh perkhidmatan Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Republik Singapura, sambil menekankan peranan unik program itu dalam menghubungkan pemimpin generasi akan datang demi memelihara ikatan bersejarah yang telah dimulakan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien III dan mendiang Perdana Menteri, Lee Kuan Yew.