Berangkat ke Majlis Perjumpaan bersama Governor-General of Australia

14 Og 2026 - 9:42am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

CANBERRA, AUSTRALIA, Khamis, 13 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman pada sebelah petang berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan bersama Governor-General of Australia, Puan Yang Terutama The Honourable Sam Mostyn AC, yang diadakan di Government House, Canberra.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dialu-alukan oleh Puan Yang Terutama Governor-General of Australia.

Ini adalah perjumpaan kali pertama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia bersama Puan Yang Terutama Governor-General of Australia.

Semasa perjumpaan tersebut, Puan Yang Terutama menyatakan rasa kagum atas kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta menyembahkan sembah ucapan tahniah sempena sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta menjelang tahun 2027. Kedua-dua pihak mengalu-alukan hubungan kerjasama dua hala yang sangat baik di antara kedua buah negara, terutama sekali dalam bidang pendidikan dan pertahanan. Duli Yang Teramat Mulia juga mengalu-alukan lebih ramai pelancong Australia untuk berkunjung ke Negara Brunei Darussalam semasa Visit Brunei Year 2027 ke arah meningkatkan lagi kerjasama pelancongan dan pertukaran antara rakyat.

Selepas Majlis Perjumpaan, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan berangkat bersama Puan Yang Terutama menaiki kenderaan khas untuk menyaksikan kangaroo di persekitaran Government House.

Sebelum berangkat meninggalkan Government House, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia disembahkan dengan ucapan selamat berangkat oleh Puan Yang Terutama.