Bengkel perkukuh hala tuju negara ke arah penuaan berjaya

1 Okt 2026 - 7:12am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. – Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pusat Kajian Strategik dan Dasar (Centre for Strategic and Policy Studies - CSPS), menganjurkan Bengkel Perancangan Strategik 1 bagi pembangunan Pelan Hala Tuju Kebangsaan 10 Tahun Ke Arah Penuaan Berjaya di Negara Brunei Darussalam (NBD) selama dua hari bermula hari ini hingga 1 Oktober 2026 bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Eksekutif CSPS, diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Turut dibentangkan ialah dapatan Imbasan Persekitaran (Environmental Scan) yang akan menjadi asas kepada perbincangan dan penyediaan Pelan Hala Tuju berkenaan.

Bengkel selama dua hari berkenaan menghimpunkan pegawai-pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkepentingan bagi membincangkan hala tuju jangka panjang negara ke arah penuaan berjaya.

Berpandukan Pelan Tindakan Warga Emas 2025-2030 : Ke Arah Penuaan Berjaya serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara, para peserta akan membincangkan visi, misi dan nilai teras Pelan Hala Tuju yang dicadangkan, mengenal pasti bidang-bidang keutamaan yang perlu diberi tumpuan dalam tempoh 10 tahun akan datang, serta meneliti pendekatan bagi menilai kemajuan pelaksanaannya.

NBD sedang menuju ke arah masyarakat menua. Pada 2025, jumlah penduduk berumur 60 tahun ke atas dianggarkan mencecah 53,100 orang atau 11.6 peratus daripada keseluruhan penduduk negara. Peningkatan jangka hayat merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan kemajuan negara dalam bidang kesihatan dan pembangunan sosial.

Dalam masa yang sama, perkembangan berkenaan turut menekankan kepentingan usaha bersepadu bagi memastikan warga emas dapat terus menikmati kehidupan yang sihat, aktif dan berdikari.

Pelan Hala Tuju Kebangsaan 10 Tahun Ke Arah Penuaan Berjaya akan menjadi panduan jangka panjang negara bagi menyokong warga emas agar terus menikmati kesihatan yang baik, hidup berdikari, berasa selamat dan kekal terlibat dalam masyarakat.

Pelan Hala Tuju berkenaan juga akan membantu memperkukuh kerjasama merentas pelbagai sektor serta mengenal pasti keutamaan bersama ke arah meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas. Pembangunan Pelan Hala Tuju berkenaan juga menyokong Wawasan Brunei 2035, khususnya Matlamat dua yang menumpukan kepada pencapaian kualiti hidup yang tinggi bagi rakyat.

Ia juga melengkapi Blueprint Sosial dan Pelan Tindakan Warga Emas, serta selaras dengan komitmen serantau dan antarabangsa, termasuk United Nations Decade of Healthy Ageing 2021-2030, WHO Regional Action Plan on Healthy Ageing in the Western Pacific dan Kuala Lumpur Declaration on Ageing : Empowering Older Persons in ASEAN.

Susulan bengkel berkenaan, Kementerian Kesihatan dan CSPS akan menyelaras hasil perbincangan yang telah dipersetujui dan menyediakan draf kerangka Pelan Hala Tuju. Sesi perundingan dan libat urus yang lebih meluas akan diadakan bersama agensi berkaitan, penyedia perkhidmatan, komuniti, penjaga dan warga emas bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas dalam memperhalusi keutamaan dan tindakan yang dicadangkan.

Pelan Hala Tuju berkenaan dihasratkan untuk memupuk sebuah masyarakat yang menghargai, menyokong dan memperkasa warga emas. Melalui usaha bersepadu yang melibatkan kerajaan, komuniti dan keluarga, ia bertujuan memperkukuh jaminan sosial dan ekonomi serta mewujudkan persekitaran yang inklusif, menyokong dan mesra warga emas agar mereka dapat terus aktif dan kekal berhubung dengan masyarakat.

Pelan Hala Tuju berkenaan juga berhasrat memastikan warga emas dapat menjalani usia lanjut dalam keadaan sihat dan berdikari, hidup dengan penuh maruah serta terus memainkan peranan yang bermakna dalam keluarga dan masyarakat secara amnya.