Bengkel meningkatkan kemahiran dalam Dikir Brunei

29 Sep 2026 - 6:42am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Azmah Haji AhadGADONG, Isnin, 28 September. - Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara Zon 2 mengadakan Bengkel Dikir Syarafil Anam (Dikir Brunei) bagi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah dan kumpulan Muslimah Masjid Zon 2 berlangsung di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong, di sini.Majlis Penutup Bengkel Dikir Syarafil Anam (Dikir Brunei) diadakan pagi tadi setelah bengkel tersebut diadakan selama empat sesi.Hadir dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji MasriBengkel ini bertujuan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari dan meningkatkan penguasaan Lagu-lagu Dikir Brunei.Selain itu, bengkel juga dihasratkan untuk memperkembangkan Dikir Brunei sebagai salah satu warisan masyarakat Brunei, di samping meningkatkan mutu bacaan dari segi ‘fashahah’, lagu dan suara.Antara lagu yang dipelajari bagi peserta lelaki ialah Khairuman Tiga Serangkai dan Badat Sa’adon (Si Japar), manakala peserta perempuan mempelajari Khairuman Tiga Serangkai dan Alham Allah. Bengkel ini dibimbing oleh tenaga pembimbing yang mempunyai kemahiran dalam lagu Dikir Brunei, iaitu Awang Haji Mahri bin Haji Metusin dan Awang Haji Asmat bin Haji Tuah dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.Selain meningkatkan kemahiran dalam Dikir Brunei, bengkel ini turut menjadi wadah untuk mencungkil bakat dan kebolehan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah dan Muslimah. Ia juga memberi peluang kepada para peserta untuk mengeratkan silaturahim antara jemaah dan penduduk kampung serta memupuk semangat keislaman, keimanan dan kesatuan Islamiah dalam kalangan masyarakat.Melalui penganjuran bengkel ini, diharap para peserta akan dapat terus mempelajari dan menguasai Lagu-lagu Dikir Brunei, seterusnya menyumbang kepada pengimarahan majlis-majlis keagamaan dan pemeliharaan warisan Dikir Brunei dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.