Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Ihsan Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 2 Oktober. - Bengkel Impak IFLA mengenai ‘Measurement Evaluation and Demonstrating Impact of Library Services’ yang diadakan selama tiga hari berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta, berlangsung di Pusat Sejarah Brunei, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Mohd. Faizal bin Haji Mat Salleh.
Bengkel yang berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober 2026 itu dianjurkan oleh Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei (PSB) serta sokongan International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA).
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Jurulatih IFLA, Dr. Premila Gamage, dengan memberi tumpuan kepada pengukuran, penilaian dan pembuktian impak perkhidmatan perpustakaan.
Dalam ucapan penutupnya, tetamu kehormat menekankan bahawa perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan dan meminjam buku, tetapi merupakan sebuah institusi ilmu yang berperanan penting dalam menyokong pendidikan, penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat serta pemeliharaan khazanah intelektual dan warisan negara.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah perpustakaan bukan hanya diukur melalui jumlah koleksi, pinjaman atau pengunjung, tetapi juga berdasarkan manfaat yang diperoleh pengguna.
Beliau turut mengetengahkan peranan perpustakaan PSB yang mempunyai lebih daripada 60,000 bahan koleksi, termasuk buku, buku nadir, majalah, jurnal dan kertas kerja berkaitan sejarah, Kesultanan Brunei, kebudayaan dan warisan negara.
Koleksi ini tambahnya bukan sekadar himpunan bahan bacaan, tetapi merupakan sumber bukti, rujukan dan ingatan institusi yang penting bagi memahami sejarah Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, usaha memelihara, mendokumentasikan, menyusun, mendigitalkan dan menyediakan akses kepada koleksi berkenaan merupakan satu amanah yang besar, ujarnya.
Dalam era transformasi digital, beliau menekankan keperluan para pustakawan untuk meningkatkan kemahiran dalam pengurusan maklumat digital, pendigitalan koleksi, literasi maklumat dan analisis data, di samping berupaya menilai keberkesanan perkhidmatan serta menunjukkan impaknya kepada pihak berkepentingan.
Beliau seterusnya berharap pengetahuan yang diperoleh melalui bengkel berkenaan dapat dimanfaatkan di institusi masing-masing, khususnya dalam pengumpulan data, penetapan petunjuk prestasi, mendapatkan maklum balas pengguna dan penyediaan laporan impak berasaskan bukti.
Sementara itu, Yang Di-Pertua BLA, Dayang Hajah Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny, berkata bengkel tersebut bertujuan memperkasa para pustakawan dan profesional maklumat dengan pengetahuan serta kemahiran praktikal untuk mengukur dan menunjukkan sumbangan perkhidmatan perpustakaan kepada pembangunan negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Beliau turut berkata hasil bengkel diharap dapat membantu para pustakawan mereka bentuk perkhidmatan yang fleksibel, memperkukuh literasi digital dan kritikal, melibatkan masyarakat serta meningkatkan keterlihatan perpustakaan melalui penggunaan data dan dokumentasi berasaskan bukti.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil IFLA kepada seramai 20 peserta yang menyertai bengkel tersebut.