Bengkel Bahasa Isyarat pupuk masyarakat prihatin, inklusif

29 Sep 2026 - 7:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Biro Pendidikan Majlis Perundingan Kampung Lamunin

TUTONG, Isnin, 28 September. - Biro Pendidikan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Bengkel Bahasa Isyarat buat julung kalinya.

Program yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 25 September dan 27 September 2026 berkenaan diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bertempat di Pusat Kemasyarakatan Dataran Gong Tiga, Kampung Lamunin, baru-baru ini.

Majlis penutup dimulakan dengan penuh keberkatan menerusi bacaan doa yang dipimpin oleh Awang Muhd. Amin Yusof bin Muhd. Arifin. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kampung Lamunin, PW1 (B) Saini bin Haji Othman yang juga Pemangku Penghulu Mukim Lamunin serta merangkap Pengerusi MPK Lamunin.

PW1 (B) Saini dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan bangga atas komitmen padu semua pihak dalam menjayakan bengkel perintis berkenaan.

Suasana majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.

Dalam ucapan pembukaannya, tetamu kehormat majlis menyarankan dan memberi galakan kepada para peserta agar tidak berhenti setakat ini, malah terus berkongsi ilmu serta kemahiran yang telah diperoleh kepada masyarakat di persekitaran masing-masing.

Beliau turut menekankan bahawa para peserta merupakan agen inklusiviti yang amat penting dalam penyebaran maklumat serta membina jambatan komunikasi komuniti bersama golongan berkeperluan khas.

Seramai 12 peserta diraikan selepas berjaya menamatkan keseluruhan sesi bengkel intensif yang dijalankan pada sebelah pagi dan petang. Daripada jumlah berkenaan, tiga peserta terpilih telah dianugerahkan hadiah pencapaian terbaik hasil daripada penilaian konsisten melalui pemerhatian praktikal dan ujian sepanjang bengkel berlangsung.

Sebelum majlis melabuhkan tirainya, semua hadirin, peserta dan ahli jawatankuasa penganjur tidak melepaskan peluang emas untuk sesi bergambar ramai bagi mengabadikan memori indah aktiviti bersejarah berkenaan.

Usaha murni Biro Pendidikan MPK Lamunin berkenaan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.