Belia diperkasa dengan kemahiran AI, digital, keusahawanan

12 Og 2026 - 7:37am

Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) terus memperkukuh usaha memperkasa golongan belia dengan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) serta teknologi digital bagi memastikan mereka kekal relevan dalam menghadapi keperluan masa hadapan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, menjelaskan perkara tersebut ketika menjawab soalan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, perkembangan AI membuka peluang yang signifikan dalam memperkasa golongan belia khususnya dalam mempersiapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, selain membuka peluang pekerjaan baharu, mendorong inovasi dan keusahawanan serta meningkatkan keupayaan belia untuk menjadi pencipta peluang pekerjaan dan penyumbang aktif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, menurut Yang Berhormat, golongan belia perlu dipersiapkan dan diperkasa dengan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan yang bersesuaian supaya mereka bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, malah berupaya memanfaatkan AI sebagai peluang untuk berinovasi, mencipta nilai dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

Yang Berhormat turut menekankan bahawa usaha melahirkan generasi belia yang celik AI dan berkemahiran digital memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu melalui penglibatan serta kerjasama strategik pelbagai pihak, termasuk sektor kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, industri, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti belia.

Jelas Yang Berhormat lagi, keupayaan dan potensi belia negara dalam bidang AI, teknologi dan inovasi digital semakin menyerlah, yang antara lain dibuktikan melalui pencapaian mereka dalam pertandingan dan platform berprestij di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara platform berkenaan termasuk APICTA, BICTA, The Crown Prince CIPTA Award dan AI Ready ASEAN Youth Challenge yang melibatkan penyertaan belia daripada pelbagai institusi pendidikan, termasuk sekolah-sekolah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan institusi-institusi lain kongsi Yang Berhormat.

Pencapaian tersebut, jelas Yang Berhormat, mencerminkan bakat, kreativiti dan keupayaan generasi muda negara untuk bersaing serta menghasilkan inovasi dalam bidang teknologi yang semakin berkembang.

Dalam pada itu tambah Yang Berhormat, Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 turut menyelaraskan agenda pendigitalan dalam pembangunan belia. Dasar berkenaan merupakan dokumen yang sentiasa disesuaikan dengan keperluan dan persekitaran semasa, termasuk keperluan terhadap kemahiran digital dan AI selaras dengan Pelan Digital Brunei 2030.

“Antara usaha tersebut termasuk pengenalan kurikulum STEAM dan AI oleh Kementerian Pendidikan di sekolah-sekolah, manakala institusi pengajian tinggi dan universiti tempatan turut melaksanakan Projek Capstone dan program perantisan, termasuk Program Laluan Keperantisan di UTB serta kerjasama antara industri dan UBD bagi memastikan graduan memiliki kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan ekonomi semasa.

“UBD juga telah memperkukuh pendidikan dan pembangunan bakat digital melalui penerapan teknologi dan AI menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Sains Digital dalam Kecerdasan Buatan Gunaan atau Bachelor of Digital Science in Applied Artificial Intelligence,” terang Yang Berhormat.

Sementara itu tambah Yang Berhormat, Darussalam Enterprise (DARe) melalui Youth Apprenticeship Programme menyediakan latihan dan sokongan dalam bidang keusahawanan digital. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi pula, melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), telah melaksanakan Startup673 National Hackathon yang diterajui oleh Brunei Innovation Lab dengan kerjasama AITI, DARe dan LiveWIRE.

“Ia merupakan usaha sama yang menggalakkan golongan belia dan usahawan muda membentuk pasukan, mengenal pasti cabaran industri serta membangunkan penyelesaian inovatif dalam pelbagai bidang, termasuk kelestarian, kesihatan dan Pendidikan” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, setakat Julai 2026, seramai 279 peserta telah mengikuti Startup673 National Hackathon, yang turut menyumbang kepada penjanaan peluang pekerjaan baharu. Di peringkat kementerian pula, Pusat Pembangunan Belia menawarkan kursus-kursus singkat yang memberi tumpuan kepada kemahiran digital dan AI antaranya Digital Graphic Design, Laser Cutting and Digital Fabrication, Canva dan Social Media Marketing, Multimedia Production, Artificial Intelligence Fundamentals serta Web Development Essentials.

Yang Berhormat turut menekankan bahawa pembangunan belia bukan hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal, malah turut memberi penekanan terhadap pembinaan sahsiah dan kepimpinan bagi memastikan golongan belia memiliki nilai integriti, disiplin dan daya kepimpinan yang tinggi.

Menurut Yang Berhormat, kesemua inisiatif tersebut membuktikan bahawa usaha melahirkan belia yang celik AI serta berdaya saing dalam bidang keusahawanan digital merupakan agenda kolektif yang memerlukan komitmen seluruh ekosistem belia.

“Kementerian ini akan terus memainkan peranan sebagai salah satu agensi pelaksana dalam usaha berkenaan, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan generasi belia yang inovatif, berdaya tahan serta berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan dan penyumbang utama kepada ekonomi negara,” ujar Yang Berhormat.