BDCB terbitkan Indeks Sentimen Perniagaan bagi September 2026

11 Nov 2026 - 6:16am

Siaran Akhbar dan Infografik : Brunei Darussalam Central Bank

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 November. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan ataupun Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi September 2026. Indeks ini berdasarkan kaji selidik bulanan yang melibatkan kira-kira 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar dari 11 sektor ekonomi di seluruh NBD.

BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen / keyakinan perniagaan di NBD yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja dan kos menjalankan perniagaan.

Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu penunjuk awal keadaan makroekonomi negara.

Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, BDCB telah menyemak metodologi BSI bagi meningkatkan keteguhan, konsistensi dan nilai analisis indeks. Walaupun skala BSI adalah 0.0 hingga 100.0 di bawah metodologi sebelumnya, formula pengiraan yang digunakan hanya menghasilkan nilai indeks antara 49.0 dan 51.0.

Di samping itu, daripada menetapkan tahap 50.0 sebagai neutral, nilai antara 45.0 hingga 55.0 kini ditakrifkan sebagai neutral. Perubahan ini seterusnya meningkatkan sensitiviti indeks, sekali gus membolehkan tafsiran yang lebih jelas dan tepat terhadap pergerakan indeks.

Pengemaskinian ini tidak menjejaskan penilaian ekonomi bagi hasil terdahulu, memandangkan sentimen asas yang diukur oleh indeks tersebut kekal tidak berubah. Bagi memastikan konsistensi dan kebolehbandingan, data BSI terdahulu telah dikira semula menggunakan metodologi baharu dan diterbitkan dalam Buletin Statistik yang terdapat di laman sesawang BDCB. Keterangan indeks adalah seperti yang disediakan dalam rajah 1.

Indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan, berada pada tahap 63.2, menunjukkan bahawa perniagaan secara amnya menjangka keadaan perniagaan akan bertambah baik pada September 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Sentimen positif ini didorong oleh peningkatan permintaan pelanggan dan jualan, pemulihan dalam aktiviti perniagaan selepas tempoh cuti sekolah, serta acara-acara dan aktiviti promosi. Beberapa perniagaan turut melaporkan aktiviti projek yang lebih kukuh dan penambahbaikan prestasi operasi. Walau bagaimanapun, keadaan jerebu dan cuaca panas dilaporkan telah menjejaskan operasi sesetengah perniagaan.

Sub-indeks satu bulan ke hadapan berada pada tahap 50.5, kekal pada paras neutral. Ini mencerminkan jangkaan keadaan perniagaan secara keseluruhannya akan kekal stabil pada Oktober 2026.

Faktor yang menyokong sentimen optimistik termasuk jangkaan peningkatan penjualan, projek baharu dan yang sedang berjalan, serta kempen promosi dan peluang perniagaan bermusim.

Walau bagaimanapun, kebimbangan terhadap aktiviti perniagaan pada penghujung tahun, serta ketidakpastian terhadap peluang projek dan keadaan pasaran, terus membendung keyakinan.

Sub-indeks Pelaburan kekal menunjukkan sentimen yang optimistik, dengan indeks bulan semasa pada 79.0, indeks satu bulan ke hadapan pada 81.1, dan indeks tiga bulan ke hadapan pada 80.0.

Bagi bulan September, peningkatan pelaburan telah didorong oleh pembelian mesin dan peralatan, pelaburan berkaitan projek termasuk perolehan bahan, penambahan inventori serta aktiviti pengembangan perniagaan.

Bagi beberapa bulan akan datang, perniagaan menjangka akan meningkatkan pelaburan aset operasi seperti kenderaan, menaik taraf teknologi dan infrastruktur, serta inisiatif peningkatan kapasiti bagi menyokong peningkatan aktiviti perniagaan dan permintaan pada masa hadapan.

Sub-indeks Pekerjaan dicatat pada tahap 74.8 bagi bulan semasa menunjukkan bahawa tahap pekerjaan dijangka meningkat pada bulan September 2026. Perniagaan mengongsikan pengambilan pekerja yang berterusan bagi menyokong pelaksanaan projek, memenuhi keperluan operasi, dan memperkukuh kapasiti tenaga kerja.

Bagi satu bulan ke hadapan, indeks berada pada tahap 46.5. Walaupun beberapa perniagaan menjangka akan terus mengambil tenaga kerja bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan projek yang bakal dilaksanakan, terdapat juga perniagaan yang menyatakan bahawa tenaga kerja yang sedia ada juga masih mencukupi bagi memenuhi permintaan dan keperluan operasi.

Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 65.9 bagi bulan semasa dan 47.6 bagi Oktober 2026. Perniagaan melaporkan kos operasi yang lebih tinggi pada September 2026, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan bagi bahan mentah, kerja penyelenggaraan dan pembaikan, perbelanjaan berkaitan pekerja, serta pelaksanaan projek.

Beberapa perniagaan juga menghadapi kos logistik dan penghantaran yang lebih tinggi, manakala perniagaan yang lain berhadapan dengan peningkatan kos input berikutan kenaikan harga minyak mentah. Dalam memandang ke hadapan, perniagaan secara amnya menjangka kos akan kekal stabil pada Oktober 2026.

Dari segi sektor ekonomi boleh rujuk Rajah 2. Manakala segi saiz peniagaan boleh rujuk Rajah 3 yang disediakan. Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB ‘@centralbank.brunei’.