BDCB terbit Indeks Sentimen Perniagaan bagi julai 2026

2 Okt 2026 - 5:51am

Siaran Akhbar dan Infografik : Brunei Darussalam Central Bank

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan ataupun Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Julai 2026.

Indeks berkenaan adalah berdasarkan kaji selidik bulanan yang melibatkan kira-kira 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar daripada 11 sektor ekonomi di seluruh negara.

BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan di NBD yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.

Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks berkenaan boleh digunakan sebagai salah satu penunjuk awal keadaan makroekonomi negara.

Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, BDCB telah menyemak metodologi BSI bagi meningkatkan keteguhan, konsistensi dan nilai analisis indeks. Walaupun skala BSI adalah 0 hingga 100 di bawah metodologi sebelumnya, formula pengiraan yang digunakan hanya menghasilkan nilai indeks antara 49.0 dan 51.0.

Di samping itu, daripada menetapkan tahap 50.0 sebagai neutral, nilai antara 45.0 hingga 55.0 kini ditakrifkan sebagai neutral. Perubahan berkenaan seterusnya meningkatkan sensitiviti indeks, sekali gus membolehkan tafsiran yang lebih jelas dan tepat terhadap pergerakan indeks.

Pengemaskinian berkenaan tidak menjejaskan penilaian ekonomi bagi hasil terdahulu, memandangkan sentimen asas yang diukur oleh indeks berkenaan kekal tidak berubah. Bagi memastikan konsistensi dan kebolehbandingan, data BSI terdahulu telah dikira semula menggunakan metodologi baharu dan diterbitkan dalam Buletin Statistik yang terdapat di laman sesawang BDCB.

lndeks utama BSI, iaitu sub-indeks keadaan perniagaan, berada pada tahap 59.9 pada Julai 2026 yang menunjukkan bahawa keadaan perniagaan secara keseluruhannya bertambah baik berbanding bulan sebelumnya.

Sentimen optimistik berkenaan didorong oleh aktiviti-aktiviti projek, penambahan pesanan pelanggan, dan pengeluaran yang meningkat. Beberapa perniagaan turut melaporkan peningkatan jualan dan aktiviti perniagaan bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.

Walau bagaimanapun, sentimen optimistik berkenaan diimbangi oleh prestasi yang berbeza-beza merentas sektor, dengan sebahagian perniagaan melaporkan jualan yang rendah mengambil kira pengguna berbelanja dengan lebih berhemat, dan sebilangan yang lain menjangkakan kelewatan dalam kelulusan dan penawaran projek.

Sementara sub-indeks satu bulan ke hadapan berada pada tahap 45.1, iaitu dalam paras neutral, menunjukkan iklim perniagaan dijangka kekal stabil pada Ogos 2026. Sesetengah perniagaan menjangka peningkatan aktiviti hasil daripada projek baharu, jumlah pesanan yang meningkat serta peningkatan pengeluaran.

Walau bagaimanapun, beberapa perniagaan menyuarakan kebimbangan terhadap permintaan yang sederhana sepanjang musim cuti persekolahan, kelemahan berterusan dalam perbelanjaan pengguna, serta pengurangan aktiviti berkaitan sambutan perayaan pada Julai 2026.

Manakala sub-indeks pelaburan terus menunjukkan sentimen optimistik, dengan tahap 75.9 bagi indeks semasa, 77.7 bagi satu bulan ke hadapan, dan 76.2 bagi tiga bulan ke hadapan. Sentimen positif bagi bulan semasa sebahagian besarnya didorong oleh perbelanjaan modal berkaitan pengembangan perniagaan, pembelian jentera dan peralatan, penaiktarafan teknologi, serta pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan.

Perniagaan menjangkakan perbelanjaan pelaburan akan terus kukuh dalam beberapa bulan akan datang, disokong oleh projek yang sedang berjalan, rancangan pengembangan perniagaan, serta inisiatif pembangunan infrastruktur merentas pelbagai sektor.

Sementara sub-indeks pekerjaan mencatatkan tahap 49.4 bagi bulan semasa dan 52.7 bagi bulan akan datang, menunjukkan keadaan yang stabil. Beberapa perniagaan melaporkan usaha bagi menjalankan pengambilan pekerja bagi menyokong pelaksanaan projek yang sedang berjalan, rancangan pengembangan perniagaan, dan keperluan operasi.

Walau bagaimanapun, peningkatan berkenaan sebahagian besarnya diimbangi oleh peletakan jawatan, persaraan, penamatan kontrak, dan pelarasan tenaga kerja yang dilaporkan oleh perniagaan lain. Walaupun sesetengah perniagaan menjangkakan pengambilan pekerja tambahan dalam tempoh terdekat, kebanyakan menyatakan tiada perubahan dalam jumlah tenaga kerja.

Manakala sub-indeks kos perniagaan pula berada pada tahap 32.3 bagi bulan semasa, menunjukkan bahawa kos perniagaan pada Julai 2026 lebih rendah berbanding bulan sebelumnya. Penurunan berkenaan sebahagian besarnya disebabkan oleh kos tenaga kerja yang rendah, pengurangan pembelian bahan, serta normalisasi perbelanjaan berikutan selesainya pelaksanaan beberapa aktiviti dan acara-acara utama pada bulan-bulan sebelumnya.

Bagi jangkaan satu bulan ke hadapan, sub-indeks kos perniagaan meningkat kepada 59.0, menandakan jangkaan bahawa kos operasi akan meningkat sedikit pada Ogos 2026. Peningkatan berkenaan dikaitkan dengan perbelanjaan yang tinggi bagi pelaksanaan projek, peningkatan pembelian bahan, serta kenaikan kos logistik.

Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.