Siaran Akhbar dan Foto : Tabung Amanah Pekerja
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. - Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah melaksanakan Program Lakastah Bersedia selama dua hari bermula pada Selasa, 29 September 2026 sehingga Rabu, 30 September 2026 bertempat di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membuat persediaan awal sebelum memasuki fasa persaraan dengan memberi tumpuan kepada aspek-aspek utama seperti perancangan kewangan, kesejahteraan hubungan kekeluargaan dan sosial, penjagaan kesihatan serta pengurusan harta.
Program ini menyasarkan individu yang dijangka akan bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari KHEU bersama pasangan masing-masing telah menyertai program ini.
Penglibatan pasangan merupakan elemen penting dalam pendekatan yang diketengahkan kerana perancangan persaraan adalah lebih berkesan apabila dilaksanakan secara bersama.
Melalui komunikasi yang terbuka, perkongsian dalam membuat keputusan serta penyelarasan matlamat kewangan dan jangkaan gaya hidup, pasangan dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan persaraan dan kesejahteraan jangka panjang.
Justeru, pendekatan kolaboratif ini diharap dapat memperkukuhkan keberkesanan serta kemampanan perancangan persaraan dalam kalangan peserta. Sepanjang program ini, para peserta diberikan panduan praktikal dan pengetahuan yang relevan melalui sesi perkongsian daripada beberapa institusi.
Dimulakan dengan taklimat mengenai perancangan kewangan dan perancangan persaraan yang disampaikan oleh Unit Perkhidmatan Persaraan TAP, para peserta didedahkan kepada kepentingan menetapkan matlamat pendapatan persaraan serta mengambil langkah awal untuk mencapai gaya hidup yang diharapkan selepas bersara.
TAP turut menggalakkan ahli-ahlinya untuk membuat caruman sukarela ke dalam Akaun Ahli SPK sebagai usaha meningkatkan simpanan persaraan. Di samping itu, para peserta juga disarankan untuk mendapatkan khidmat konsultasi daripada perancang persaraan yang diakreditasi TAPCERT®, bagi membantu mereka merancang persaraan dengan lebih teratur, realistik dan berkesan.
Program ini turut menampilkan perkongsian daripada beberapa institusi yang memberikan perspektif menyeluruh mengenai persediaan persaraan. Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) berkongsi mengenai kepentingan mengenal pasti dan menghindari penipuan kewangan dan isu-isu kewangan semasa.
Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga pula memberi penekanan kepada kepentingan mengekalkan kesejahteraan hubungan kekeluargaan dan sosial serta menyesuaikan diri dengan perubahan yang lazim berlaku apabila memasuki alam persaraan.
Sementara itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) membincangkan aspek pengurusan harta dan perancangan waris mengikut hukum Syarak.
Pusat Promosi Kesihatan (HPC) mengetengahkan kepentingan menjaga kesihatan pada masa kini sebagai persediaan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental sepanjang persaraan.
Selain itu, Cyber Security Brunei (CSB) berkongsi panduan mengenai keselamatan digital serta langkah-langkah praktikal untuk melindungi diri daripada ancaman dan jenayah siber.
Melalui program ini, diharapkan para peserta memperoleh pengetahuan dan panduan yang dapat membantu mereka membuat persediaan yang lebih menyeluruh bagi menghadapi fasa persaraan.
Inisiatif seumpama ini akan terus diperluaskan ke kementerian dan agensi lain sebagai sebahagian daripada komitmen TAP untuk memperkasa individu agar lebih bersedia menghadapi persaraan melalui perancangan yang awal, tersusun dan berinformasi, ke arah kesejahteraan jangka panjang dan kualiti hidup yang mampan.
Bagi Ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan, boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP menerusi talian +673 2722929 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel di ask@tap.com.bn.