Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar
KOTA BATU, Jumaat, 2 Oktober. - Amalan berinfak merupakan ibadah yang terpuji dan sangat digalakkan dalam agama Islam sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Penasihat I Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid (AJK) Kampung Sungai Besar, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Awang Haji Damit berkata pihak masjid sentiasa terbuka untuk menerima pelbagai bentuk sumbangan bagi kemaslahatan masjid.
“Amalan berinfak juga dapat memupuk sikap prihatin, ikhlas dan saling membantu dalam kalangan masyarakat. Setiap sumbangan yang diberikan dengan niat kerana Allah Subhanahu Wata’ala akan menjadi amal jariah yang pahalanya terus mengalir selagi manfaatnya dinikmati,” jelasnya yang juga selaku Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar, pagi tadi.
Beliau menambah membudayakan amalan berinfak mengikut kemampuan masing-masing kerana setiap sumbangan yang diberikan dengan ikhlas, walaupun kecil, mempunyai nilai yang besar dalam membantu memakmurkan masjid.
Terdahulu, Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas secara beramai-ramai yang dikepalai oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Tamin, yang juga memimpin bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.
Majlis kemudiannya diselajurkan dengan bacaan tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Muhammad Hazman bin Haji Mohd. Hairol Azme, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Hadir dan menyertai majlis ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan Penasihat II Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman. Juga menyertai majlis, Ahli-ahli AJK Takmir dan Jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar.