54 Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Khatam Al-Quran

2 Okt 2026 - 7:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. – Pusat Latihan Polis (PLP), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2026 sebagai sebahagian daripada program menjelang Upacara Perbarisan Tamat Latihan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna PLP berkenaan disertai oleh 54 Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2026.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, bersama isteri, Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri & Keluarga Polis (PEKERTI), Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong.

Juga berangkat, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, bersama isteri, Pengerusi PEKERTI, Datin Dayang Nur Akmalia binti Leftenan Kolonel (B) Awang Iskandar.

Turut hadir, pengarah-pengarah, timbalan-timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai PPDB serta keluarga para pelatih yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran yang diketuai oleh Rekrut 7214 Awangku Ahmed Syakir bin Pengiran Adiputra.

Ini diikuti dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang diketuai oleh Rekrut 7201 Muhammad Ridhwan Aminuddin bin Irwan, manakala bacaan Marhaban yang diketuai oleh Rekrut 7221 Mohammad Azharuddin Fakhrullah bin Mohamad Isa.

Sementara bacaan Doa Khatam Al-Quran kemudiannya disempurnakan oleh Rekrut 7201 Muhammad Ridhwan Aminuddin bin Irwan. Acara diteruskan dengan sesi merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat majlis, diikuti oleh para jemputan yang hadir.

Pada majlis berkenaan, para pelatih turut menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat majlis sebagai tanda penghargaan.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Rekrut 7206 Muhammad Almaten bin Zahari.

Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2026 dijadualkan menamatkan latihan kepolisan menerusi Upacara Perbarisan Tamat Latihan pada 3 Oktober 2026 di Padang Kawad Besar, PLP.