5 organisasi kebajikan terima sumbangan

16 Okt 2026 - 6:22am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Ihsan Hengyi Industries Sendirian Berhad

GADONG, Khamis, 15 Oktober. - Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) hari ini menyumbangkan sejumlah BND12,500 kepada lima organisasi kebajikan di negara ini menerusi inisiatif Hengyi Cares sebagai tanda komitmen syarikat berkenaan dalam menyokong kesejahteraan masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.

Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Restoran I-Lotus itu diadakan bersempena dengan Majlis Penghargaan Media Hengyi Industries, sebagai penghargaan kepada rakan media atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat mengenai perkembangan, kegiatan dan sumbangan syarikat kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai, menyampaikan sumbangan berkenaan kepada wakil lima organisasi kebajikan, dengan setiap organisasi menerima BND2,500.

Organisasi yang menerima sumbangan tersebut ialah Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA); Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam; Society for the Management of Autism Related Issues in Training, Education, and Resources (SMARTER) Brunei; Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) dan Yayasan Kanser Kanak-Kanak Brunei (YASKA).

Sumbangan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan organisasi berkenaan dalam menyediakan penjagaan, bantuan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak, individu serta keluarga yang memerlukan, di samping membantu menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh golongan berkenaan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, merakamkan penghargaan kepada rakan media atas kesudian meluangkan masa untuk menghadiri majlis berkenaan serta sokongan yang diberikan sejak Hengyi Industries memulakan operasinya di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Beliau menjelaskan bahawa media memainkan peranan penting dalam membantu menyampaikan perkembangan syarikat kepada masyarakat, termasuk berkaitan operasi, warga kerja, projek pembangunan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Menurutnya, komunikasi yang berkesan serta persefahaman bersama merupakan elemen penting dalam membina hubungan kerjasama yang kukuh dan berkekalan.

Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan perniagaan perlu disertai dengan tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui pelbagai usaha yang memberikan manfaat kepada komuniti setempat.

Inisiatif Hengyi Cares mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong usaha kebajikan dan melaksanakan inisiatif bermakna ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin serta inklusif di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hengyi Industries turut memaklumkan mengenai kemajuan projek pembangunan Fasa 2 di Pulau Muara Besar yang sedang dilaksanakan, dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak USD5 bilion.

Projek berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti penapisan syarikat daripada lapan juta tan setahun kepada 20 juta tan setahun, di samping memperluas rangkaian produk petroleum bertapis yang dapat dihasilkan.

Selain memperkukuh keupayaan industri hiliran petrokimia negara, pembangunan Fasa 2 itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan penduduk tempatan apabila mula beroperasi.

Hengyi Industries menyasarkan kadar pengambilan tenaga kerja tempatan sebanyak 50 peratus bagi projek berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai anak tempatan untuk mengembangkan kerjaya dalam industri hiliran petrokimia.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan NBD, rakan strategik, warga kerja dan masyarakat bagi menyokong pembangunan industri hiliran petrokimia negara.

Pada majlis tersebut, Hengyi Industries turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan media atas sokongan, pemahaman dan kerjasama yang diberikan, serta berharap hubungan baik yang terjalin akan terus diperkukuh pada masa akan datang.