TUNGKU LINK, Sabtu, 26 September. - Sebagai salah satu usaha bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik para mahasiswa dan mahasiswi, Universiti Teknologi Brunei (UTB), petang tadi telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Dean’s List 2026 berlangsung di Dewan Serbaguna universiti berkenaan.
Seramai 49 pelajar daripada pelbagai fakulti dan sekolah telah menerima anugerah masing-masing di atas kecemerlangan yang telah diraih.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra. Turut hadir, pegawai-pegawai utama UTB, tenaga akademik serta keluarga para penerima.
Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Dr. Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman menekankan bahawa pencapaian dalam Anugerah Dean’s List mencerminkan dedikasi, disiplin, ketekunan dan komitmen terhadap pengajian.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf keputusan yang telah diraih, malah ia turut menghargai usaha dan keazaman yang dicurahkan oleh para pelajar dalam mencapai kejayaan berkenaan.
Seterusnya beliau juga turut mengiktiraf kejayaan tersebut merupakan sumbangan para pensyarah, tenaga akademik, keluarga dan rakan-rakan dalam memberikan sokongan kepada kejayaan para pelajar.
Pada majlis tersebut, setiap penerima anugerah menerima pingat dan sijil yang disampaikan oleh dekan masing-masing, mewakili fakulti dan pusat yang merangkumi Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perniagaan, Fakulti Pengkomputeran dan Informatik, Fakulti Sains Gunaan dan Matematik, Fakulti Reka Bentuk serta Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran.
Majlis Penyampaian Anugerah Dean’s List 2026 mencerminkan komitmen UTB dalam menyemai kecemerlangan akademik, inovasi serta pembangunan pelajar secara holistik.