Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BENGKURONG, Rabu, 30 September. - Bagi menghargai usaha dan kejayaan para murid yang telah menamatkan persekolahan ugama serta berjaya dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi, seramai 45 murid Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong menerima sijil SSSRU mereka pada satu majlis yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, di sini.
Jumlah berkenaan terdiri daripada lima murid sesi pagi dan 40 murid sesi petang, termasuk dua murid berkeperluan khas.
Hadir selaku tetamu khas majlis, Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Johar bin Haji Jumat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong, Awang Haji KamirulAzman bin Haji Kula, selaku Pengerusi Majlis.
Tetamu khas majlis semasa berucap pada majlis berkenaan menyifatkan penerimaan sijil berkenaan merupakan satu detik yang istimewa dalam perjalanan pendidikan para murid, yang melambangkan usaha dan kesungguhan mereka sepanjang mengikuti pembelajaran di sekolah ugama.
"Sepanjang berada di sekolah ugama, awda bukan sahaja mempelajari ilmu pengetahuan ugama, bahkan telah dididik dengan nilai-nilai murni seperti iman, takwa, adab, hormat kepada ibu bapa dan guru, disiplin, amanah serta tanggungjawab. Semua nilai ini amat penting untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
"Ingatlah bahawa ilmu tanpa adab boleh kehilangan maknanya, manakala adab yang disertai ilmu akan menjadi bekalan yang sangat berharga," katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan ugama tidak seharusnya terhenti setelah murid menamatkan pengajian di sekolah, sebaliknya ilmu dan nilai yang dipelajari hendaklah terus diamalkan dalam kehidupan, keluarga, tempat kerja dan masyarakat.
Sehubungan itu, Awang Haji Johar menyeru para murid agar terus rajin belajar, menjaga sembahyang, menghormati ibu bapa dan guru serta sentiasa berusaha memperbaiki diri dan diingatkan supaya tidak mudah berasa puas dengan pencapaian yang diraih, sebaliknya menjadikan kejayaan berkenaan sebagai titik permulaan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
"Dalam menghadapi sebarang kegagalan atau cabaran, para murid turut dinasihatkan agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya mengambil iktibar daripada kesilapan, terus berusaha dan sentiasa berdoa memohon petunjuk serta pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala," ujarnya lagi.
Acara diserikan lagi dengan persembahan tausyeh dan Dikir Asyraqal oleh murid-murid Darjah IV dan Darjah V, dan diteruskan dengan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan oleh tetamu khas majlis.
Majlis turut diserikan lagi dengan bacaan Doa Selamat sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan.
Selain meraikan kejayaan para murid, majlis berkenaan turut menjadi wadah bagi menghargai dan mengiktiraf peranan ibu bapa serta guru-guru yang sentiasa menjadi tonggak dan pendorong dalam membantu mencapai kejayaan para murid.