Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir
KAHERAH, Isnin, 28 September. - Seramai 38 pelajar diraikan dalam Majlis Konvokesyen Graduan Negara Brunei Darussalam di Universiti Al-Azhar dan Ma’had Qiraat Shoubra Al-Azhar bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Fousthat, Al-Azhar Conference Center, Nasr City baru-baru ini.
Majlis diadakan bagi meraikan dan melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran di atas kejayaan para pelajar menamatkan pengajian bagi Sesi 2025 / 2026, di samping menghargai pencapaian dan kecemerlangan akademik mereka.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Sekretariat Jeneral Akademi Penyelidikan Islam Al-Azhar, Profesor Dr. Muhammad Abdel Daim Al-Jindi.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang graduan, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Lagu Kebangsaan Republik Arab Mesir serta ucapan alu-aluan oleh Awang Shahrul Nazim bin Kanafiah selaku Pengerusi Majlis dan juga wakil graduan yang diraikan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para graduan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Turut disampaikan ialah Anugerah Pelajar Cemerlang yang berjaya meraih pangkat tertinggi bagi Sesi Pengajian 2025/2026.
Penganjuran majlis seumpama ini mampu menyuntik semangat dan memberikan sumber inspirasi serta dorongan kepada para pelajar lain untuk terus belajar dengan lebih tekun lagi, dan manakala bagi para graduan pula, ia mampu menaikkan motivasi dan keyakinan diri mereka untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam sama-sama membantu dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.