Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 September. - Genap 35 tahun penubuhannya, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) terus menzahirkan rasa syukur atas perjalanan panjang dalam memperkasa perkhidmatan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam menerusi Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.
Majlis anjuran Perbadanan TAIB bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd., Darussalam Holdings Sdn. Bhd. dan TAIB Filling Station Sdn. Bhd. itu turut menjadi wadah bagi warga TAIB mendoakan keberkatan, kesejahteraan dan kelangsungan organisasi dalam mendukung amanah kepada masyarakat dan negara.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Ekonomi,Perdagangan dan Industri, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim selaku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB; Penolong Mufti (‘Ifta), Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Syariah serta pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikat.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat 1, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, diikuti bacaan Surah Yaa Siin dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid berkenaan, Abdul Aziz bin Haji Abdullah.
Sementara Doa Selamat dan Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Eksekutif Perbadanan TAIB, Awang Muhammad Faizun bin Haji Ali Asgar.
Ulang Tahun Perbadanan TAIB yang disambut setiap tahun memperingati pelancaran rasmi organisasi pada 29 September 1991, yang disempurnakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penubuhannya mencatat lembaran penting dalam sejarah kewangan negara apabila Perbadanan TAIB tampil sebagai institusi kewangan Islam pertama di Negara Brunei Darussalam yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan berlandaskan prinsip-prinsip Islam.
Kini, selepas 35 tahun, legasi tersebut terus diperkukuh dengan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan kewangan Islam yang diyakini, sekali gus memperkukuh peranan TAIB dalam mendukung pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Justeru, 35 tahun bukan sekadar angka tetapi lambang perjalanan amanah yang terus dipikul daripada sebuah institusi kewangan Islam perintis kepada sebuah organisasi yang terus berkembang seiring aspirasi negara.