118 murid cemerlang diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil

2 Okt 2026 - 7:49am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, 1 Oktober, Khamis. - Bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid atas pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, di samping menghargai peranan ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan, seramai 118 murid telah diraikan dan menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil Murid Cemerlang Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi bagi Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei 1.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 52 merupakan murid lelaki, manakala 66 lagi murid perempuan.

Majlis berkenaan diadakan pada petang tadi di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Mohamed Sofian bin Haji Abdul Hamid, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei (JKPSSU) Kawasan Brunei 1, Awang Mohammad Halidi bin Awang Haji Basar.

Majlis berkenaan turut menjadi wadah penghargaan kepada pihak sekolah atas segala usaha dan komitmen yang telah dicurahkan dalam membantu murid-murid mencapai keputusan yang membanggakan dalam peperiksaan berkenaan.

Majlis dikendalikan oleh JKPSSU Kawasan Brunei 1.