DARIPADA Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
''Setiap perbuatan baik adalah sedekah dan sesungguhnya termasuk perbuatan baik adalah apabila engkau menjumpai saudaramu dengan wajah yang berseri-seri''.
(Hadis Hasan Sahih Riwayat Imam At-Tirmizi)
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa berbuat baik dalam kehidupan sehari-hari dikira sebagai sedekah walaupun dengan hanya senyuman dan bermuka manis apabila berhadapan sesama Islam.
Daripada Abu Dzar berkata, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepadaku :
''Janganlah kamu memandang rendah sedikit pun suatu kebaikan, walaupun kamu hanya bertemu saudaramu dengan wajah berseri-seri''.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Daripada Abu Dzar berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
''Senyummu di hadapan saudaramu adalah sedekah''.
(Hadis Hasan Gharib Riwayat At-Tirmizi)
Senyum merupakan salah satu bentuk kebaikan yang sederhana, tetapi memiliki makna yang sangat besar dalam Islam. Senyum tidak memerlukan tenaga yang besar, ataupun waktu yang lama. Namun, dengan senyuman, seseorang dapat menghadirkan kebahagiaan, mempererat hubungan dengan orang lain, dan menumbuhkan suasana yang penuh kasih sayang.
Senyum dan bermanis muka adalah dua hal kecil namun sangat besar impaknya kepada diri kita sendiri dan orang sekeliling kita. Pernahkah kita terfikir hanya dengan mengukir satu senyuman ia mampu memberikan ketenangan serta kebahagiaan yang bukan sahaja untuk diri kita tetapi juga untuk orang lain selain dapat menyalurkan aura yang positif. Jika kita mempunyai masalah, senyumlah agar kita tidak terlalu merasa terbeban dengan masalah yang kita hadapi dalam hidup ini.
Dalam Islam, bermanis muka adalah salah satu akhlak yang mulia yang boleh menumbuhkan rasa kasih sayang dan mempererat tali persaudaraan sesama insan. Tersenyum itu bukan sahaja sebagai bentuk kebaikan kepada sesama manusia, namun ia merupakan satu amalan ringan yang bernilai sedekah. Senyum bukan sekadar ekspresi wajah tetapi juga salah satu cara yang sederhana untuk menyebarkan kebaikan tanpa mengeluarkan wang atau harta benda.
Dari segi kesihatan pula senyum mengurangi rasa stres serta memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal sekali gus dapat menjadikan awet muda bagi pengamalnya. Di samping itu juga tanpa kita sedar bahawa senyum itu mampu meringankan beban orang lain. Kadang-kadang seseorang sedang bergelut dengan masalah yang kita tidak nampak, namun dengan satu senyuman yang kita berikan mungkin jadi penyebab hatinya sedikit tenang saling menyantuni antara satu sama lain.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan contoh utama bagi umatnya untuk sentiasa tersenyum sebagai bentuk keramahan dan pendekatan yang positif dalam kehidupan. Wajah yang penuh senyuman adalah akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, daripada Jarir Radhiallahuanhu dia berkata yang maksudnya :
''Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah menghalangiku (untuk menemui Baginda) sejak aku masuk Islam, dan Baginda tidak pernah melihatku kecuali Baginda tersenyum di hadapanku''.
(Hadis Riwayat Imam Al- Bukhari)
Daripada Abdullah bin Al-Harits bin Jaz’i dia berkata : ''Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam''.
(Hadis Gharib Riwayat Imam At-Tirmidzi)
Melihat beberapa hadis mengenai senyum yang sering dilakukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini membuktikan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seorang yang selalu tersenyum. Maka kita sebagai umatnya haruslah mempunyai keinginan untuk mencontohi perilaku Baginda yang sentiasa ramah dan suka mengukir senyuman ketika bergaul dengan masyarakat dan inilah sifat beliau yang indah dan terpuji walau belum bertegur sapa.
Senyum itu bahasa kasih sayang dan membawa energi positif dalam kehidupan. Mulai sekarang jangan ragu menjadikan senyum sebagai gaya hidup. Setiap pagi niatkan sedekah termudah ini iaitu senyum tulus kepada ahli keluarga, tetangga, rakan kerja atau siapa saja yang kita temui. Dengan senyuman kita dapat meningkatkan hubungan sosial serta boleh menceriakan suasana, mengurangi ketegangan sekali gus menumbuhkan rasa selesa dalam interaksi seharian.
Dalam berdakwah pula dengan wajah ceria dan bermanis muka akan mudah menarik hati orang lain dan non muslim ketika diajak mendekati agama Islam dan kepada kebaikan. Senyum adalah sarana untuk menarik hati dalam berdakwah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
''Sesungguhnya kamu tidak akan mampu menarik hati manusia dengan harta kamu, tetapi kamu mampu menarik hati mereka dengan wajah yang berseri dan akhlak yang baik''.
(Hadis Sahih Riwayat Imam Al-Hakim)
Seandainya kita tidak mampu untuk tersenyum janganlah pula bermasam muka atau memandang sinis kepada orang lain kerana ini boleh membuat orang merasa tidak senang dan selesa. Senyuman adalah cerminan akhlak seorang Muslim yang melambangkan kelembutan hati, sifat penyayang, dan keikhlasan. Bila kita tanam budaya senyum ikhlas dalam hidup, kita bukan sahaja memberi kegembiraan kepada orang lain, tetapi juga sedang mencontohi akhlak mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.